zaky@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Kapasiti pengeluaran sarung tangan tahunan Top Glove Corporation Bhd (Top Glove) melonjak kepada sekitar 100 bilion keping setakat Jun 2021, sebelum dijangka mencecah 111 bilion keping menjelang Disember ini.
Menurut pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia berdasarkan kapasiti pengeluaran, peningkatan pengeluaran itu adalah untuk memenuhi permintaan kukuh produk berkenaan susulan penularan COVID-19.
“Peningkatan kapasiti pengeluaran sarung tangan kumpulan dicapai menerusi kemudahan 37 kilang pengeluaran merangkumi 812 barisan pengeluaran tunggal setara.
“Lonjakan jualan dan pendapatan disebabkan permintaan kukuh sarung tangan ekoran kenaikan kes pandemik di seluruh dunia. Operasi pengeluaran yang flesibiliti juga mengekalkan kadar penggunaan bagi memenuhi peningkatan permintaan,” katanya.
Daripada 37 kilang sarung tangan yang dimiliki, 32 kemudahan terletak di Malaysia, tiga di Thailand dan masing-masing satu di China dan Vietnam.
Menuju ke hadapan, Top Glove berkata, kapasiti pengeluaran tahunannya dijangka menokok kepada 111 bilion keping menjelang 31 Disember ini.
“Peningkatan itu disokong oleh kemudahan pengeluaran di 39 kilang miliknya membabitkan 886 barisan pengeluaran tunggal setara,” katanya.
Ketika ini, Top Glove memiliki keseluruhan 48 kilang di Malaysia, Thailand, China dan Vietnam.
Selain sarung tangan getah, Top Glove turut menghasilkan produk lain termasuk kondom dan pelitup muka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




