am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Selepas terapung 43 jam, kapten kapal layar Daisy yang karam di perairan Pulau Yu di sini, Selasa lalu ditemukan selamat malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, Ahmet Volkan Ata, 52, mangsa kedua yang terselamat, manakala Eser Demairokol, 53, masih hilang.
Katanya, Ahmet Volkan yang ditemui nelayan kira-kira tujuh batu nautika dari Pulau Yu diserahkan kepada Pasukan Polis Marin (PPM) pada 9.45 malam.
“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk rawatan dan dilapor stabil tanpa sebarang kecederaan.
“Bagaimanapun pemeriksaan lanjut masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, media melaporkan tiga warga Turkiye yang dalam siri jelajah mengelilingi benua dari Malaysia ke negara asal terkesan ribut yang menyebabkan kapal layar Daisy dinaiki mereka karam, kira-kira 2.30 petang Selasa lalu.
Bagaimanapun seorang dariapda mereka, Ates Demiroren ditemui selamat oleh nelayan dan operasi carilamat digerakkan bagi mengesan dua yang lain.
© New Straits Times Press (M) Bhd