am@hmetro.com.my
Segamat: “Sebaik memberi salam (selesai solat), kami terkejut dengan bunyi dentuman. Tiba-tiba kapur siling runtuh, syukur tidak terkena kami,” kata Imam Surau Kampung Sanglang, Saniman Abd Jamal, 76, ketika menceritakan pengalaman kejadian gempa bumi di daerah ini, pagi tadi.
Kejadian berlaku jam 6.15 pagi ketika Saniman bersama beberapa jemaah memberi salam pada rakaat akhir solat Subuh.
“(Kapur) siling jatuh satu persatu di tepi kami. Kami terdiam dan tidak berganjak dari tempat solat.
“Kemudian, kami dengar seolah-olah ada sesuatu yang berjalan di atas bumbung dengan kejadian berlaku hanya beberapa saat,” kata Saniman ketika ditemui hari ini.
Menurutnya, ia pengalaman paling menakutkan sejak menetap di kampung itu, kira-kira 50 tahun lalu.
Imam Surau Batu 2, Kampung Tengai, Mohd Johan Hassan, 58, turut berdepan situasi sama ketika dia bersama jemaah lain sedang menunaikan solat Subuh.
“Gegaran terasa ketika kami dalam rakaat pertama solat Subuh. Waktu itu, saya jadi makmum dan imam sedang membaca surah al-Mulk ayat kelapan yang secara kebetulan maksudnya menceritakan gegaran api neraka.
“Saya dan jemaah merasai gegaran di lantai dan bunyi kuat dari atas bumbung surau, namun tetap terus menunaikan solat hingga selesai.
“Sebaik selesai, kami saling bertanya mengenai gegaran itu kerana ini pengalaman pertama sejak tinggal di kawasan ini 20 tahun lalu.
“Saya juga periksa keseluruhan surau untuk melihat jika ada kerosakan,” katanya.
Sementara itu, penduduk, Saadiah Abd Jamal, 76, turut merasai gegaran itu ketika sedang berzikir sebaik selesai menunaikan solat Subuh.
Katanya, dia terpinga-pinga selain berdebar kerana tidak mengetahui punca gegaran kuat itu.
“Gegaran kedua pula menyusul jam 9 pagi, namun ia hanya berlaku dalam beberapa saat. Ketika itu, baru saya sedar rupa-rupanya berlaku gempa bumi di kampung ini,” katanya yang menetap di kampung itu sejak 70 tahun lalu.
Gegaran gempa bumi lemah berkekuatan 4.1 magnitud dikesan berlaku di Segamat, jam 6.13 pagi tadi, namun tiada kemalangan jiwa, kecederaan atau kerosakan harta benda dilaporkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd