am@hmetro.com.my
Betong: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas bot laju yang sedang diujinya karam dalam kejadian di Kampung Tisak Ulu, di sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mangsa dikenali sebagai Denickles Lesen, 20.
Beliau berkata, mangsa dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam sungai di kawasan berkenaan.
“PGO menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.20 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong digerakkan ke lokasi.
“Pasukan bomba tiba di tempat kejadian pada jam 4.45 petang selepas menempuh perjalanan sejauh kira-kira 21 kilometer,” katanya.
Katanya, menurut saksi di lokasi, kejadian berlaku ketika mangsa sedang menguji sebuah bot laju di sungai berkenaan.
“Bot yang diuji karam secara tiba-tiba menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam air dan saksi melihatnya terkapai-kapai sebelum hilang dari pandangan.
Susulan itu, katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dilancarkan oleh lima anggota dari BBP Betong sebaik tiba di lokasi.
“Tindakan awal yang dijalankan adalah pencarian di permukaan air dengan bantuan bot milik penduduk kampung bagi mengesan sebarang petunjuk.
“Operasi pencarian tertumpu di kawasan terakhir mangsa dilaporkan hilang dan setakat jam 5.30 petang mangsa masih belum dijumpai,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




