Karangkraf teruskan tradisi, hayati ibadah korban

Karangkraf teruskan tradisi, hayati ibadah korban
Karangkraf teruskan tradisi, hayati ibadah korban

Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin melihat sukarelawan yang memotong daging korban untuk jamuan dan agihan kepada golongan yang memerlukan.

SHAH ALAM – Karangkraf meneruskan kembali tradisi apabila sebanyak tujuh ekor lembu dikorbankan bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidiladha.

Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang berkata, penganjuran semula program itu dibuat susulan menerima permintaan daripada staf dan majlis berlangsung meriah hasil semangat gotong-royong pelbagai pihak.

Hussamuddin (tiga dari kiri) hadir sama menyaksikan pelaksanaan ibadah korban di Karangkraf.

Hussamuddin (tiga dari kiri) hadir sama menyaksikan pelaksanaan ibadah korban di Karangkraf.

“Staf yang ingin melaksanakan ibadah korban melibatkan dua ekor lembu manakala tradisinya diteruskan apabila Penasihat Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub menyumbangkan tiga ekor lembu.

“Kita juga menerima sumbangan daripada KDEB Waste Management (KDEBWM) dan Northport (Malaysia) Berhad masing-masing menyumbangkan seekor lembu untuk ibadah tahun ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ibadah Korban dan Kenduri Aidiladha Karangkraf di sini pada Khamis.

Hadir sama, Hussamuddin; Penasihat Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah; Pengerusi Karangkraf, Firdaus Hussamuddin dan Pengarah Eksekutif Karangkraf, Akmal Eirfan Mohamed Fauzi.

Khidmat bomba dipanggil bagi membantu menangkap seekor lembu korban yang terlepas di Karangkraf pada Khamis.

Khidmat bomba dipanggil bagi membantu menangkap seekor lembu korban yang terlepas di Karangkraf pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi cabaran yang dihadapi apabila terpaksa mendapatkan bantuan pasukan bomba bagi menangkap seekor lembu yang terlepas.

“Kami mula menyembelih lembu sejak jam 8.30 pagi lagi dan seekor lembu terlepas serta berkeliaran di kawasan seluas kira-kira 21 ekar ini.

“Bomba dipanggil pada saat akhir untuk membantu. Itu antara cabaran dalam melaksanakan ibadah korban,” ujarnya.

Firdaus (kanan) membantu memasak dan menyiapkan juadah untuk kenduri Aidiladha 2026 di Karangkraf.

Firdaus (kanan) membantu memasak dan menyiapkan juadah untuk kenduri Aidiladha 2026 di Karangkraf.

Hashim berkata, seramai 100 peserta terlibat dalam menjayakan ibadah itu dengan dibahagikan kepada beberapa kumpulan seperti penyembelihan, melapah, memotong daging dan tulang.

“Kita mendapat sokongan daripada wakil rumah sukan, kakitangan Karangkraf, Surau Hamiddean Bicycle Team19, Masjid Al-Ubudiah, KDEBWM serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Seksyen 19.

Warga Karangkraf dapat menikmati juadah yang disediakan pada Majlis Ibadah Korban dan Kenduri Aidiladha Karangkraf pada Khamis.

Warga Karangkraf dapat menikmati juadah yang disediakan pada Majlis Ibadah Korban dan Kenduri Aidiladha Karangkraf pada Khamis.

“Walaupun tidak terlalu ramai, suasana gotong-royong tetap dapat dirasai dan semua kerja berjaya diselesaikan dengan baik hasil kerjasama yang diberikan,” katanya.

Tambahnya, sebanyak 400 bungkusan daging korban telah diagihkan kepada staf dan golongan yang memerlukan.

 

Scroll to Top