Frankfurt: Lennart Karl mencuri tumpuan apabila menerima panggilan pertama ke skuad Jerman, manakala bintang Bayern Munich, Jamal Musiala terlepas peluang akibat kecederaan.
Pemain berusia 18 tahun itu menyerlah musim ini dan mencipta sejarah sebagai penjaring termuda Bayern dalam Liga Juara-Juara ketika menjaringkan gol menentang Club Brugge, Oktober lalu.
Turut menerima panggilan sulung ialah penjaga gol Bayern, Jonas Urbig yang sudah membuat 13 penampilan musim ini.
Musiala pula masih dibelenggu kecederaan selepas kembali daripada patah buku lali sebelum mengalami kecederaan semula pada Mac.
Pengendali Jerman, Julian Nagelsmann turut memanggil semula beberapa pemain berpengalaman termasuk Kai Havertz, Antonio Rudiger dan Pascal Gross.
Beberapa nama seperti Karim Adeyemi dan Niclas Fuellkrug pula tidak disenaraikan.
Nagelsmann menjelaskan skuad dipilih hampir menyerupai barisan yang akan dibawa ke Piala Dunia.
“Skuad ini hampir sama dengan pasukan ke Piala Dunia nanti, walaupun masih ada ruang untuk perubahan,” katanya.
Jerman dijadual berdepan Switzerland pada 28 Mac sebelum menentang Ghana tiga hari kemudian sebagai persiapan terakhir menjelang kejohanan utama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




