Karl Shafek rugi RM500,000, penaja tarik diri acara pertunjukan fesyen

Karl Shafek rugi RM500,000, penaja tarik diri acara pertunjukan fesyen

najiy.jefri@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengacara dan pereka fesyen, Karl Shafek berputih mata apabila terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM500,000 selepas pihak penaja membuat keputusan menarik diri selepas terbabit dalam acara pertunjukan fesyen tahun lalu.

Karl atau Khairul Shafek Ibrahim, 44, bagaimanapun reda dan menganggap segala ujian yang berlaku ada hikmah disebaliknya.

“Saya terpaksa mencari jalan untuk membayar vendor dan model yang sudah melaksanakan tugas mereka. Tapi Alhamdulillah saya sudah dapat bayar separuh daripada jumlah itu.

“Apa yang saya lalui ini mengajar saya banyak perkara. Saya pun tak nak panjangkan isu ini.

“Cuma saya reda apabila selesai saja acara pertunjukan fesyen tiba-tiba pihak penaja tarik diri dan saya perlu selesaikan hutang seorang diri,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media perlantikannya sebagai duta Maha Buffet 2024 di Restoran Mak Kimbong, Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Menurut Karl, antara pengajaran terbaik yang dia peroleh daripada insiden itu adalah perlu mempunyai kontrak dan dokumen lengkap.

“Kesilapan saya kerana tidak ada kontrak. Tiada dokumen yang boleh bawa ke pengadilan.

“Bila dapat tahu perkara itu saya jadi hilang punca, tak tahu nak buat apa, model 80 orang, kos lampu hampir RM150,000, konsultan, pentas dan artis semuanya saya yang kena bayar.

“Paling kasihan model-model yang kebanyakannya pelajar, tapi Alhamdulillah perkara ini dah diselesaikan secara berperingkat,” katanya.

Terdahulu Karl memuat naik hantaran di aplikasi X memberitahu terpaksa menanggung kerugian selepas selesai pertunjukan fesyen Neonate X SVG di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor pada Ogos tahun lalu.

Dalam masa sama, Karl bersyukur walaupun berdepan ujian dia masih dihujani rezeki dan terbaharu dilantik sebagai duta Maha Buffet 2024.

“Tawaran ini datang sekitar bulan lepas. Disebabkan pemilik kepada dua restoran yang bertindak sebagai penganjur iaitu Restoran Mak Kimbong dan Experiment Kitchen mengikuti program masakan yang saya hoskan di kaca TV sebelum ini, jadi mereka berminat dan tawarkan saya peluang ini.

“Saya anggap ini adalah titik permulaan untuk saya kembali aktif dalam dunia masakan memandangkan saya bakal terbabit dalam penyediaan beberapa menu istimewa,” katanya.

Pesta makanan terbesar sepanjang bulan Ramadan ini bakal berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang, Selangor yang mampu memuatkan 2,500 orang dalam satu masa bermula 14 Mac hingga 8 April depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top