am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Karnival Jom Heboh (KJH) yang bermula hari ini di KL Base, di sini lebih istimewa dengan adanya sesi ‘Meet & Greet’ bersama pelakon suara filem animasi kebanggaan tanah air, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2).
Barisan pelakon suara EATM2 terdiri daripada Shafiq Isa, 42, (pelakon suara Ejen Bakar), Yatie Maslini, 39, (pelakon suara Ejen Alicia) dan Qayyim Zamani , 21, (pelakon suara Neonimus) hadir menyantuni peminat cilik yang sudah menanti sejak awal petang.
Mereka turut mengadakan kuiz mudah yang menawarkan hadiah produk (EATM2). Tidak ketinggalan diadakan ialah aktiviti mewarna watak utama filem terbabit yang menarik penyertaan ramai peminat.
Sesi ‘Meet & Greet’ akan diteruskan lagi esok dengan kehadiran Azman Zulkiply (pelakon suara Rizwan) dan Victor (pelakon suara Ejen Rama) pada jam 11 pagi.
Turut akan diadakan ialah pertandingan cosplay Ejen Ali kategori kanak-kanak bawah 15 tahun.
KJH adalah acara padang paling lama di Malaysia yang sudah diiktiraf Malaysia Book of Records bermula hari ini hingga Ahad ini.
Dalam pada itu, filem EATM2 kini mencatat kutipan sebanyak RM21.9 juta dalam tempoh lapan hari termasuk tayangan awal sejak 22 Mei lalu.
Manakala, jumlah keseluruhan penonton EATM2 di pawagam mencecah angka 1.4 juta orang, sekali gus mencatat sambutan luar biasa daripada penonton di seluruh negara.
Filem sekuel EATM2 diarahkan Usamah Zaid Yasin, kali ini mendapat tayangan di 161 pawagam di seluruh negara, termasuk Brunei Darussalam yang berjaya menarik perhatian ramai.
Difahamkan juga tiket kini terjual pantas di pelbagai lokasi, termasuk beberapa pawagam juga didapati mula menambah jadual sesi tayangan bagi memenuhi permintaan ramai.
EATM2 dibawakan WAU Animation dengan kerjasama Primeworks Studios (PWS) dan Komet Productions menyasarkan kutipan ‘box office’ ingin diperoleh sebanyak RM60 juta.
Ia susulan mengambil kira kejayaan tayangan filem Ejen Ali The Movie pertama di pawagam kira-kira enam tahun lalu iaitu 2019 yang mencatat kutipan pecah panggung lebih RM30 juta.
Bagi penggemar Ejen Ali, siri animasi tempatan ini pernah ditayangkan di TV3 sebaik diperkenalkan pada 2016 dan kisahnya berkembang menjadi fenomena dengan tiga musim siri yang mendapat sambutan hangat.
© New Straits Times Press (M) Bhd