Karnival jualan 66 jam tanpa henti 29 Mac-1 April

Karnival jualan 66 jam tanpa henti 29 Mac-1 April

PETALING JAYA: Absolut Bazaar x Festival Gaya Raya (ABxFGR) 2024 dijangka mencatat rekod karnival terbesar dengan menyasarkan jualan sebanyak RM20 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif My Events International, Hemma Candy berkata, sasaran tersebut mampu dicapai menerusi penganjuran karnival jualan selama 66 jam tanpa henti yang akan bermula 29 Mac hingga 1 April nanti.

Katanya, ia disokong dengan faktor lokasi strategik di Pusat Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) yang lengkap dengan kemudahan.

“Ini merupakan tahun ketiga penganjuran dan kami yakin mampu menarik lebih dua juta pengunjung dengan lebih 900 tapak jualan disediakan.

“Dengan tapak letak kereta yang banyak serta dewan besar dan berhawa dingin selain pilihan yang sangat banyak, kami yakin tahun ini akan menjadi lebih gempak dan meriah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Hemma berkata, pihaknya turut memberi garis panduan kepada vendor dengan harga tertentu mengikut keadaan ekonomi semasa.

“Sebab itu akan ada sesi happy hour di mana ada barangan yang ditawarkan sehingga potongan 50 peratus,” jelasnya.

ABXFGR tahun ini turut memberikan peluang kepada sektor elektronik dan pelbagai sektor lain selain 80 vendor pelbagai jenis makanan dan minuman untuk berbuka puasa atau bersahur.

Dalam pada itu, Hemman berkata, My Events International turut mengumumkan hasrat mereka untuk mengadakan ABxFGR24 di Johor seminggu sebelum acara di Kuala Lumpur. 

Ini bertujuan memberi peluang kepada komuniti setempat untuk turut menyertai dan menikmati kegembiraan festival ini. 

Festival raya di Johor ini akan berlangsung pada 22 dari 24 Mac 2024 di Persada Johor. – UTUSAN

Scroll to Top