Karnival UDA 2023 catat jualan hartanah RM30.8j

Karnival UDA 2023 catat jualan hartanah RM30.8j

IPOH: Karnival UDA 2023 anjuran UDA Holdings Berhad (UDA) berjaya mencatat jualan hartanah sebanyak RM30.8 juta menerusi kempen hartanah UDA Ria di tiga lokasi penganjuran karnival itu pada tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Mohd Salem Kailany, berkata jumlah jualan itu melepasi sasaran ditetapkan iaitu RM20 juta di kesemua lokasi penganjuran karniva berkenaan iaitu di Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Kinabalu di Sabah dan Ipoh.

Beliau berkata, pihaknya optimis penganjuran Karnival UDA 2023@Perak di Ipoh, mampu mencapai sasaran nilai jualan RM2.2 juta dengan membabitkan penyertaan 150 usahawan.

Katanya, ia sekali gus mencapai sasaran nilai jualan keseluruhan RM10 juta yang membabitkan 500 usahawan bagi empat penganjuran karnival sepanjang 2023.

“Saya yakin ia (jumlah jualan hartanah) dapat dipertingkat di sini lebih-lebih lagi dalam persekitaran ekonomi yang semakin pulih,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival UDA 2023@Perak di tapak parkir Angsana Ipoh Mall di sini, Sabtu lalu.

Mohd Salem melawat tapak niaga jualan MADANI pelbagai barang dapur dengan harga rendah di Angsana Mall, Ipoh.

Sementara itu, Mohd Salem dalam ucapan perasmian berkata, Karnival UDA 2023 yang menggabungkan dua acara iaitu UDA Ria dan USHANiaga dengan penganjurannya dibuat sejak 2022, menunjukkan UDA selaku agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sentiasa proaktif dalam memperkasa golongan usahawan.

“Melalui USHANiaga, usahawan yang membuka gerai jualan menerima subsidi sewaan tapak selain berpeluang meneroka pelbagai insentif disediakan UDA antaranya, ruang niaga di premis bawah seliaan UDA seperti Angsana Ipoh Mall, serta melalui platform pemasaran produk usahawan di pusat runcit Mari Mart dan Kirana.

“Karnival UDA turut membolehkan usahawan mendapatkan maklumat berhubung tawaran Program Insentif Usahawan UDA seperti UDA Bizznita, UDA 4 Youth, dan UDA Preneur yang merangkumi rebat sewa, manfaat fasiliti dan kos pengurusan bagi membantu mereka berdaya saing serta terus kekal di pasaran.

“Contohnya, program ‘BizClinic’ atau BizKaunselor oleh Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) yang juga sebuah agensi di bawah KUSKOP, memanfaatkan kepakaran perniagaan mereka untuk membantu usahawan dalam Karnival UDA 2023, ” katanya.

Lahirkan usahawan mampan

Beliau berkata, objektif karnival UDA adalah memperkenalkan aspirasi UDA bagi melahirkan usahawan mampan serta membimbing dan mentransformasi mereka yang berpotensi, berdaya saing dan berdaya tahan di pasaran domestik mahupun peringkat global.

Katanya, pada masa sama memberi peluang kepada usahawan UDA dan rakan kolaborasi bagi memasarkan produk dan perkhidmatan mereka.

Dalam pada itu, Mohd Salem berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dengan mewujudkan hab perniagaan untuk golongan asnaf di bawah usahawan MAIPk di kompleks perniagaan UDA di Angsana Ipoh Mall di sini.

Katanya, objektif mewujudkannya adalah bagi mendedahkan dan memberi peluang kepada usahawan asnaf berada serta memasarkan produk mereka di pusat membeli-belah bagi memperoleh lebih akses kepada pasaran seterusnya meningkatkan jualan.

“Daripada kajian, kami mendapati kebanyakan usahawan takut untuk mengambil atau menyewa lot ‘premium’ di pusat beli-belah kerana alasan kadar sewaan mahal dan seumpamanya.

Jadi, kolaborasi bersama MAIPk ini membolehkan kita mengetengahkan usahawan terbabit supaya berani duduk di lot ‘premium’,” katanya.

Mengenai kempen hartanah UDA Ria, Mohd Salem berkata, UDA kini dalam peringkat cadangan pembangunan 105 unitmrumah teres dua tingkat di atas tanah wakaf di Perak.

“Selain menyediakan ruang niaga dan komersial, UDA yang turut berperanan menggalas mandat bagi meningkatkan pemilikan hartanah terutamanya Bumiputera di kawasan bandar, menawarkan pelbagai produk hartanah kediaman di seluruh negara dengan sasaran pembeli kepada mereka yang ingin memiliki rumah pertama.

“Ia juga dapat meningkatkan taraf kehidupan dengan memiliki kediaman selesa serta kepada pelabur hartanah tempatan,” katanya.

Katanya, penubuhan UDA 52 tahun lalu, adalah bagi melaksanakan program pembangunan dan bertujuan menangani isu ketidakseimbangan ekonomi serta ekuiti dalam masyarakat.

Katanya, agensi itu turut ditugaskan untuk memaju dan menjalankan projek di kawasan pembangunan bandar untuk mengagih peluang dalam bidang perdagangan dan lain-lain aktiviti secara menyeluruh.

“Sehingga kini, UDA terus utuh menggalas amanah berkenaan, termasuk menempatkan usahawan Bumiputera di ruang niaga yang kompetitif dan berdaya saing,” katanya.

Antara produk hartanah yang diketengahkan di Karnival UDA 2023 @ Perak adalah Amaanee Residences dan Crescent Dew di Pulau Pinang; 38 Bangsar Residensi dan Legasi Kampong Bharu di Kuala Lumpur; Dedaun Residensi di Selangor; UDA Heights, Pisonia Ville, Neuvo Centro dan Areca Terrace di Johor; Pelindung Heights di Pahang; Sarai di Terengganu; serta Neu Pendington di Sarawak.

Pelanggan yang membeli hartanah UDA sepanjang Kempen Hartanah UDA Ria berlangsung berpeluang menikmati pelbagai hadiah lumayan berjumlah hampir RM200,000 berupa pakej percutian, kad Touch ‘n Go, baucar minyak, penginapan di AnCasa Hotels & Resorts serta dua hadiah utama iaitu kereta Perodua Ativa, tertakluk kepada terma dan syarat.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari https://uda.com.my/karnival-uda atau Instagram @uda_official atau laman Facebook UDA Holdings Berhad.

© New Straits Times Press (M) Bhd