am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sindiket kartel sampah haram yang menyebabkan berlaku pencemaran sungai boleh didenda maksimum RM1 juta dan penjara sehingga tiga tahun jika didapati bersalah.
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berkata, sekiranya hasil siasatan mendapati sesuatu tapak pembuangan sampah haram menyebabkan atau berpotensi menyebabkan pencemaran kepada sungai atau sumber air, LUAS akan mengambil tindakan berdasarkan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999 serta peruntukan undang-undang lain yang berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing.
Menurutnya, punca kuasa utama LUAS dalam aspek pencemaran sumber air adalah Seksyen 79 Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999.
“Enakmen itu memperuntukkan larangan terhadap pencemaran sesuatu sumber air termasuk kemasukan atau pelepasan bahan beracun, bahan memudaratkan, bahan pencemar atau bahan buangan yang menyebabkan atau berkemungkinan menyebabkan perubahan kepada keadaan fizikal, biologi atau kimia sumber air sehingga menjejaskan penggunaannya atau kesihatan dan keselamatan awam serta hidupan akuatik.
“Dalam konteks tapak sampah haram, air larut resap (leachate), air larian tercemar atau bahan buangan yang masuk ke sungai boleh menjadi antara perkara yang disiasat bagi menentukan sama ada terdapat pelanggaran terhadap peruntukan berkaitan pencemaran sumber air,” katanya secara eksklusif kepada Harian Metro.
LUAS berkata, sekiranya terdapat pelanggaran peruntukan Enakmen LUAS 1999, tindakan penguatkuasaan boleh diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab, tertakluk kepada hasil siasatan dan peruntukan undang-undang yang terpakai.
“Menurut Subseksyen 79(4) telah dipinda bagi memperuntukkan hukuman yang lebih berat, iaitu mana-mana orang yang disabitkan atas kesalahan berkaitan pencemaran sumber air boleh dikenakan denda minimum RM200,000 dan maksimum RM1 juta dan hukuman penjara secara mandatori sehingga tiga tahun.
“Bagi aspek pembersihan dan pemulihan tapak sampah haram, LUAS boleh mengeluarkan arahan bertulis di bawah Seksyen 121(1) meliputi tindakan yang perlu bagi menghentikan kemasukan bahan pencemar, mengawal air larut resap (leachate), membersihkan kawasan yang terjejas serta memulihkan keadaan sumber air, tertakluk kepada keadaan kes dan arahan yang dikeluarkan,” katanya.
Katanya, selain itu, penyelarasan tindakan dengan agensi yang mempunyai bidang kuasa berkaitan pengurusan sisa pepejal juga boleh dilaksanakan bagi pembersihan tapak, tanah dan penguatkuasaan alam sekitar.
“Ini penting kerana fungsi LUAS adalah khusus kepada pengurusan dan perlindungan sumber air, dan bukannya mengambil alih keseluruhan bidang kuasa pengurusan sisa pepejal,” katanya.
Laporan eksklusif disiarkan muka depan Harian Metro melaporkan mengenai isu tapak haram pelupusan sampah haram di tujuh negeri yang membabitkan 3,723 ‘hotspot.’
Antara lokasi pembuangan sampah haram yang ditinjau Skuad Khas Harian Metro selepas mendapat aduan penduduk setempat adalah belakang Taman Pinggiran Delima, Hulu Langat, Selangor yang membabitkan kira-kira 2,000 penduduk.
Malah, lokasi tapak pembuangan sampah haram itu terletak berhampiran Surau Al-Falah Pinggiran Delima yang turut menempatkan tempat belajar Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) anak penduduk setempat.
Penduduk yang mengadu kes pembuangan sampah haram itu mendakwa situasi itu berlaku sejak Mac, pelbagai pihak sudah diadukan, berhenti sekejap kemudian jadi balik.
Laporan bertajuk Kartel Sampah Haram Kaut Untung turut mendedahkan taktik pihak tertentu membuat tawaran harga bayaran lebih murah kepada pelanggan untuk membuang sampah.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) SWCorp, Shahrul Nizam Saleh dilaporkan berkata, sebanyak 3,723 lokasi tapak haram pembuangan sampah berjaya dikesan, ditutup dan dibersihkan bagi tempoh 2024 hingga Julai 2026, dengan 81 lokasi masih aktif atau berulang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




