Karya agung kembali bergema, visi Jeffrey Cheah martabat warisan budaya

Karya agung kembali bergema, visi Jeffrey Cheah martabat warisan budaya

Sesetengah naskhah seni memiliki denyut nadi yang begitu mendalam sehingga peredaran masa tidak mampu melenyapkan pesonanya dalam jiwa sesebuah bangsa. 

Kisah legenda Puteri Gunung Ledang berdiri megah sebagai bukti nyata.

Berpaksikan warisan hikayat Melayu yang kaya dengan naratif cinta, taat setia dan pengorbanan, pementasan muzikal agung ini terus memukau sanubari masyarakat rentas generasi.

Selepas dua dekad menempa sejarah, kembalinya naskhah ikonik ini ke persada seni tanah air disambut dengan keterujaan luar biasa.

Buktinya,lebih 18,000 tiket habis terjual dalam tempoh beberapa jam sahaja menerusi saluran jualan awal dan jualan umum, manakala lebih 22,000 peminat dilaporkan berada dalam senarai menunggu dalam talian untuk mendapatkan tiket. 

Keterujaan itu bukan sekadar khabar angin

Teater Utama JCPAC berkapasiti 1,200 tempat duduk di Sunway City Kuala Lumpur sedia menjadi medan mengangkat karya seni tempatan ke persada antarabangsa. – FOTO Sunway

Penubuhan Pusat Seni Persembahan Jeffrey Cheah (atau JCPAC) bertitik tolak daripada wawasan murni Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Sir Dr.Jeffrey Cheah, yang percaya bahawa kehebatan sesebuah negara tidak wajar diukur melalui kemajuan ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu diimbangi dengan kekayaan budaya, pendidikan serta jati diri bangsanya.

Karya agung kembali bergema, visi Jeffrey Cheah martabat warisan budaya

Menurut Jeffrey Cheah, Malaysia memiliki kekayaan bakat kreatif dan khazanah warisan yang layak berdiri megah di persada antarabangsa sekiranya diberikan ruang, kemudahan serta dokongan yang sewajarnya.

“Saya berpegang teguh pada keyakinan bahawa anak seni Malaysia berhak mendapat peluang untuk mengasah dan mengembangkan bakat mereka di pentas terbaik.

“Dengan sokongan, fasiliti dan dorongan yang memberangsangkan, tiada batasan untuk apa yang mampu mereka capai,” ujarnya ketika majlis perasmian pusat seni berkenaan baru-baru ini.

Bagi merealisasikan hasrat itu, JCPAC dilengkapi Teater Utama berkapasiti 1,200 tempat duduk dengan teknologi akustik dan sistem bunyi imersif canggih, selain sebuah Studio 150 tempat duduk yang dikhaskan bagi menggilap bakat baharu serta pementasan eksperimental.

Wawasan membina jiwa bangsa

Menyentuh mengenai pementasan berkenaan, kepulangan naskhah arahan Puan Sri Tiara Jacquelina ini turut menampilkan barisan bintang ternama dan bakat generasi baharu seperti Aisha Retno, Mila Mohsin, Aqasha, Mimi Fly dan Nadia Aqilah.

Tiara yang juga Pengasas Enfiniti Productions mengakui, kebangkitan semula muzikal ini terhasil menerusi dorongan Pengarah JCPAC merangkap Penerbit Bersama, Melissa Teoh, selepas beliau sebelum ini menganggap lembaran kisah itu sudah pun berakhir.

“Bagi saya, Puteri Gunung Ledang sentiasa menjadi sebuah perayaan tentang identiti kita sebagai rakyat Malaysia  merangkumi sejarah, warisan, daya imaginasi serta keupayaan luar biasa kita dalam menyampaikan kisah yang merentasi generasi.

“Melihat karya ini kembali selepas 20 tahun dengan sambutan yang begitu menyentuh hati mengingatkan saya bahawa cerita tempatan kita sangat bermakna dan kekal malar segar,” jelas Tiara.

Beliau turut menzahirkan penghargaan mendalam terhadap visi Jeffrey Cheah yang berani melabur dalam ekosistem kebudayaan demi membina legasi masa depan negara.

Rumah baharu bakat tempatan

Kini, JCPAC melangkaui peranannya sebagai sebuah bangunan fizikal. Ia beralih menjadi jambatan yang menyatukan masyarakat menerusi pelbagai cabang seni persembahan, merangkumi teater Melayu, opera Cina, tradisi klasik India mahupun pementasan bertaraf antarabangsa.

Langkah ini penting dalam menyuburkan apresiasi silang budaya, sekali gus menjamin khazanah seni tanah air tidak luput ditelan zaman dan terus diwarisi generasi hari esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top