Pelakon, pengarah dan penerbit Tam Suhaimi berkongsi pandangan mengenai genre komedi romantik yang semakin jarang diketengahkan di layar.
Sebagai pembikin yang kerap menghasilkan karya komedi romantik, Tam melihat situasi tersebut bukan perkara mutlak kerana trend tontonan sentiasa berubah mengikut pasaran.
“Bukan di Malaysia sahaja, di Indonesia pun filem yang paling mendapat perhatian sekarang adalah seram. Di sini pula penonton lebih cenderung kepada aksi. Semua ini subjektif. Kalau produser pilih genre tertentu, mereka berniaga dan tentunya mahukan pulangan,” katanya.
Tam bagaimanapun percaya genre komedi romantik masih mempunyai kelompok peminat tersendiri dan kekal relevan hingga kini.
“Genre ini sebenarnya masih ada pengikut. Kita tengok Gol & Gincu, Pisau Cukur dan Istanbul Aku Datang masih diingati sampai sekarang.
“Di TikTok pun ramai guna semula audio babak filem-filem itu. Sambutan masih ada cuma penerbit rasa genre lain lebih ‘jual’, jadi karya sebegini kurang diberi ruang walaupun ramai rindu,” ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Tam Suhaimi Bertegas Tak Perlu Adegan Panas Untuk Tarik Penonton
Tam ditemui pada majlis pelancaran telefilem komedi romantik terbaharu arahannya berjudul Fantasi Fiksi yang kini ditayangkan di platform UTV, baru-baru ini.

Menurutnya, naskhah tersebut dihasilkan sebagai karya ringan namun mempunyai lapisan makna.
“Fantasi Fiksi ialah komedi romantik. Saya cuba cerita santai dari sudut pandangan penulis skrip yang sering dikatakan menghasilkan kisah klise. Bila dia masuk ke dunia ciptaannya sendiri, dia sedar tanggapan orang terhadap tulisannya tidak sepenuhnya tepat. Dalam masa sama ada unsur pencarian diri,” katanya.
Telefilem ini mengisahkan Azalea, seorang penulis skrip yang sering dikritik kerana menghasilkan cerita stereotaip. Segalanya berubah apabila satu insiden di set menyebabkan dia terperangkap dalam dunia fiksyen ciptaannya sendiri.

Untuk kembali ke dunia sebenar, Azalea perlu membuatkan Irfan jatuh cinta kepadanya, sedangkan dalam cerita itu dia sebenarnya ditakdirkan sebagai watak antagonis. Dilema tersebut memaksa Azalea memilih sama ada mengikut jalan cerita asal atau mengubah nasibnya sendiri. Karya ini menggabungkan unsur romantik dan komedi sambil menyentuh tema pencarian diri, keberanian dan penerimaan kelemahan.
Fantasi Fiksi turut menghimpunkan empat pemenang trofi Festival Filem Malaysia iaitu Sazzy Falak, Liyana Jasmay, Amy Mastura dan Sharifah Amani. Barisan pelakon lain termasuk Iedil Dzuhrie, Sherry Alhadad, Eyka Farhana, Fara Nadiah, Mustaqim Bahadon dan Luqman Hafidz.
Sementara itu, Penerbit dan Presiden UTV Datuk Adzliana Hasan memaklumkan telefilem tersebut kini boleh distrim di platform UTV pada harga RM9.50.

“Kami percaya komedi romantik masih ada peminat dan secara peribadi saya juga menyukai genre ini. Dengan pelakon yang kuat, kami yakin naskhah ini akan diterima penonton.
“Kami juga merancang menembusi pasaran Indonesia dan pengumuman akan dibuat tidak lama lagi. Sepanjang 2026 kami akan terus hadir dengan karya berkualiti,” katanya.
Dengan gabungan pelakon berpengalaman, premis kreatif dan pendekatan pengarahan segar, Fantasi Fiksi dijangka mengubat kerinduan penonton terhadap karya komedi romantik yang ringan, menghiburkan dan sarat mesej.




