mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) mengalu-alukan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) 2025, yang diluluskan Dewan Rakyat pada Rabu lalu.
Presidennya, Datuk Freddie Fernandez berkata, FINAS membuktikan ketegasan untuk bertindak terhadap tadbir urus dan kawal selia untuk kesejahteraan warga industri perfileman negara.
“Mereka akan bertindak tegas sekiranya ada apa-apa konflik kepentingan dan sebagainya dalam pemberian dana. Selain daripada itu, dia memberikan kuasa kepada FINAS untuk membuka syarikat.
“Sekarang terdapat Sound Stage, FINAS Post dan Digital Mix Stage yang ada teknologi canggih dimana kadang-kadang mereka kena lantik orang luar berkepakaran dalam teknologi dan bawa bisnes ini kepada satu tahap lebih berjaya.
“Jadi dengan adanya kebenaran untuk membuka syarikat, mungkin perniagaan yang dijalankan FINAS itu boleh dijalankan sebagai satu syarikat dan bukan lagi dibawah skim gaji kerajaan,” katanya kepada Harian Metro.
Freddie berkata, dia juga bersetuju
pengurusan produksi Over-the-top (OTT) dan platform-platform lain juga tertakluk di bawah FINAS.
“Mereka tak boleh melanggar undang-undang FINAS. Platform pengeluaran aktiviti dan pengedaran filem, drama, dokumentari, animasi, TV, satelit, OTT, semua akan dipantau FINAS.
“Ia juga memberikan kuasa kepada FINAS untuk memperkenalkan garis panduan baharu untuk filem, drama dan dokumentari. Selain itu, kebajikan artis, kebajikan kru akan dijaga.
“Mereka ada kontrak yang ‘standard’ yang akan dikuatkuasakan. Dan kalau tidak dibayar, FINAS pun boleh ada kuasa untuk kompaun dan penalti produksi dan sebagainya,” katanya.
Freddie berkata, apa yang dilakukan itu sesuatu yang positif dan FINAS akan jadi lebih telus selepas ini.
“Kami harap ia akan menjana pembangunan industri filem pada masa akan datang. Tahniah kepada Kementerian Komunikasi dan FINAS atas kelulusan RUU FINAS ini,” katanya.
RUU yang dibentangkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil itu, menjadi langkah penting memastikan FINAS kekal relevan serta efektif dalam memacu pembangunan sektor kreatif.
© New Straits Times Press (M) Bhd




