Kasih pada isteri tak bertempat, akhirnya ditahan SPRM

Kasih pada isteri tak bertempat, akhirnya ditahan SPRM

am@hmetro.com.my

Melaka: Bekas pengurus pentadbiran syarikat milik anak syarikat Kerajaan Negeri Melaka direman dua hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka atas dakwaan salah guna jawatan bagi mengesyorkan pelantikan isterinya untuk pembelian insurans kebakaran.

Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin mengeluarkan perintah reman bermula hari ini hingga esok terhadap lelaki berusia 44 tahun itu selepas dipohon pegawai penyiasat SRPM mengikut peruntukkan Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Ia bagi membolehkan SPRM melengkapkan siasatan kes berkenaan yang dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Menurut sumber, suspek didakwa menggunakan jawatan dan kedudukannya dengan mencadangkan perlantikan isterinya bagi pembelian insurans kebakaran untuk syarikat berkenaan kira-kira empat tahun lalu.

Terdahulu suspek yang memakai baju lokap SPRM dibawa ke Kompleks Mahkamah Ayer Keroh kira-kira jam 9 pagi tadi.

“Suspek ditahan pada jam 2.15 petang kelmarin ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Melaka,” katanya.

Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan suspek bagi membantu siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top