Kasihnya Rasul kepada umatnya

Kasihnya Rasul kepada umatnya

ALLAH menukilkan mengenai sifat-sifat Rasul di dalam al-Quran. Antara lain ialah kasihnya Rasul kepada umatnya.

Betapa kasihnya Baginda kepada umatnya sehingga terasa sangat berat tanggungannya. Lebih berat daripada berada di medan perang.

Rasul bimbang umatnya akan sesat daripada agama dan panduan kebenaran, atau derhaka kepada Tuhan, sehingga menjadi asbab dihukum oleh Allah, Penguasa Hari Pembalasan.

Sebab itu Rasul tidak pernah jemu memimpin ummah, walau dihina dan dikecam, dihujani pelbagai cabaran dan ujian dan diserang lawan dari segenap sudut perbatasan. Tidak lain dan tidak bukan, hanya dengan satu tujuan – menjaga umat jangan sampai sesat diperdaya oleh dunia,  manusia dan syaitan.

Aqidah umat mesti dipertahan. Apalah sangat dengan kenikmatan dunia ini berbanding aqidah umat yang mahu dipertahan. Apalah sangat dengan penghinaan, caci maki manusia, cabaran dan serangan pihak lawan berbanding kasih sayang Tuhan. 

Demikian pegangan para Rasul, insan pilihan. Sangat kasih para Rasul kepada umat. Jangan sampai umatnya terjunam ke neraka akibat derhaka dan kesesatan.

Dan, betapa kasihnya Rasul kepada umatnya, begitulah kasihnya para ulamak kepada umat Islam.

Saya ulang, betapa kasihnya Rasul kepada umatnya, begitulah kasihnya para ulamak kepada umat Islam.

USTAZ MOHD SHAFIE NGAH
Yang Dipertua PAS
Kawasan Bangi – HARAKAHDAILY 4/9/2023

Advertisement

Scroll to Top