Kastam nafi Ketua Pengarah bercuti ke Thailand guna dana awam

Kastam nafi Ketua Pengarah bercuti ke Thailand guna dana awam

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menafikan dakwaan bahawa Ketua Pengarahnya, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin bercuti ke Bangkok, Thailand bersama keluarga menggunakan dana awam.

JKDM dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya memandang serius tuduhan yang dilemparkan berkenaan dan menegaskan ia adalah tohmahan semata-mata.

“Tiada sebarang peruntukan jabatan digunakan untuk membayar kos penerbangan atau penginapan atau sebarang kos lain yang berkaitan dengan perjalanan Anis Rizana dan keluarga ke Bangkok seperti yang ditohmah di platform media berkenaan.

“Segala kos sepanjang lawatan peribadi tersebut ditanggung sepenuhnya oleh beliau sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, Anis Rizana sempat menghadiri Kejohanan Tinju Antarabangsa bagi memberi sokongan kepada anggota JKDM, Adli Hafidz yang mewakili negara dalam pertandingan itu.

Katanya, sudah menjadi kebiasaan buat Anis Rizana untuk memberi sokongan padu kepada warga JKDM untuk mencapai kecemerlangan.

Kenyataan itu berkata, percutian selama dua hari bermula 30 Oktober itu dimohon melalui Sistem HRMIS selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia – Kemudahan Cuti, Ceraian SR.5.1.1.

“Atas penafian ini, laporan polis juga dibuat untuk menjaga nama baik dan imej Anis Rizana dan JKDM bagi menafikan tentang tohmahan dan fitnah yang dibuat oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.

“JKDM menyeru orang ramai supaya lebih berhati-hati dan prihatin dengan membuat semakan dan pengesahan terlebih dahulu daripada sumber rasmi JKDM mengenai apa-apa maklumat yang diterima,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top