Kastam rekod 55 kes kediaman persendirian simpan arak tanpa cukai

Kastam rekod 55 kes kediaman persendirian simpan arak tanpa cukai

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengesan 55 kes penyimpanan minuman keras tidak bercukai di kediaman persendirian di seluruh negara sejak Januari hingga Julai lalu.

Dalam kenyataan dikeluarkan JKDM berkata, ia membabitkan nilai rampasan sebanyak RM1.42 juta dengan anggaran cukai yang terlibat berjumlah RM4.02 juta.

Menurutnya, meskipun orang ramai dibenarkan menyimpan minuman keras di rumah bagi kegunaan persendirian tanpa perlu lesen, namun ia perlu melalui pembelian sah dengan cukai yang sudah dijelaskan.

“Sekiranya orang awam membeli minuman keras yang sudah dibayar cukai dan melalui pembelian yang sah, tidak ada keperluan untuk menyimpan rekod. Keperluan untuk menyimpan rekod 7 tahun adalah terpakai bagi orang berlesen atau pengimport dan pengeksport.

“Dalam konteks bilangan botol minuman keras yang dibenarkan untuk disimpan sebagai kegunaan persendirian, JKDM menegaskan bahawa tiada had bilangan minuman keras yang ditetapkan di bawah undang-undang tadbiran JKDM,” katanya.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan seperti serbuan tidak dilakukan sewenang-wenangnya, tetapi berdasarkan maklumat risikan atau aduan awam yang memberikan sebab munasabah untuk mengesyaki berlakunya pelanggaran undang-undang.

“Terdapat penemuan kes di mana individu menyimpan stok minuman keras di rumah bagi tujuan perniagaan. Hasil siasatan yang dilakukan oleh JKDM telah mengesahkan bahawa duti atau cukai ke atas minuman keras berkenaan dibuktikan tidak dibayar,” katanya.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan dilakukan mengikut Akta Eksais 1976dan Akta Kastam 1967.

Dalam pada itu, secara keseluruhan bagi tempoh sama, JKDM merekodkan sejumlah 599 kes rampasan minuman keras tidak berkastam, dengan nilai rampasan berjumlah RM24.29 juta dan jumlah cukai yang terlibat sebanyak RM62.62 juta.

Orang ramai diseru membantu memerangi jenayah penyeludupan dadah dan juga lain-lain barangan seperti rokok, minuman keras dan mercun dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat Kastam berdekatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top