Kastam Sabah rampas barangan seludup hampir RM1 juta

Kastam Sabah rampas barangan seludup hampir RM1 juta

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya merampas minuman keras, rokok dan barangan elektrik seludup bernilai RM878,858 dalam empat siri serbuan berasingan dalam tempoh empat hari, awal bulan ini.

Semua barangan berkenaan dipercayai diseludup masuk tanpa cukai untuk pasaran tempatan dengan mengisytiharkan sebagai barangan lain.

Memangku Tugas-Tugas (MTT) Penolong Ketua Pengarah JKDM Sabah, Saidin Jalaluddin berkata, rampasan pertama dilakukan hasil pemeriksaan terhadap tiga kontena di Pelabuhan Sepanggar pada 4 Mac lalu.

Katanya, hasil pemeriksaan, kontena berkenaan mengandungi 41,472 minuman keras pelbagai jenis yang tidak berkastam bernilai keseluruhan sebanyak RM809,028.

“Kes kedua diperoleh kira-kira jam 2 petang hari yang sama, apabila pasukan operasi menyerbu sebuah premis di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu.

“Hasil pemeriksaan, pasukan operasi berjaya merampas 751.16 liter minuman keras pelbagai yang juga melanggar peraturan mengikut Akta Kastam 1967.

“Rampasan terus dilakukan membabitkan nilai RM2,144 dengan jumlah cukai yang terlibat sebanyak RM6,723,” katanya pada sidang media di Wisma Penguatkuasaan Sepanggar, di sini, hari ini.

Saidin berkata, rampasan ketiga dijalankan pada 5 dan 7 Mac lalu di sebuah stor di kawasan ladang dan pasar tamu Brumas.

Katanya, hasil pemeriksaan, pasukan operasi berjaya merampas sebanyak 26,726 batang rokok seludup bernilai keseluruhan sebanyak RM25,015 berjaya dirampas.

“Manakala, rampasan keempat membabitkan wayar dan barangan elektrik yang berjaya dilakukan pada 6 Mac lalu di kawasan Terminal Bas Ekspress Lahad Datu.

“Antara yang dirampas adalah 216 gulung wayar dan lampu LED pelbagai jenama disyaki barang larangan yang bernilai sebanyak RM5,060 termasuk cukai,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan kepada keempat-empat kes, modus operandi yang digunakan adalah membuat pengikraran palsu dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top