Kastam tumpaskan sindiket mengilang arak tiruan

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp
Lapan pekerja kilang berjaya melarikan diri ketika serbuan selepas kehadiran anggota kastam disedari menerusi kamera litar tertutup. (Gambar Bernama)

SEREMBAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan satu sindiket mengilang minuman keras tiruan serta merampas arak bernilai RM3.12 juta termasuk cukai di sebuah kilang di Kuala Sawah, Rantau, dekat sini pada 16 Mac lepas.

Ketua Pengarah Kastam Abdul Latif Abdul Kadir berkata susulan maklumat awam dan risikan, sepasukan anggota kastam daripada Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah, Unit 1 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyerbu kilang itu yang memproses minuman keras tiruan pelbagai jenama, disyaki tidak berkastam.

“Ketika serbuan pada 5 petang itu, lapan pekerja kilang tersebut berjaya melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota kastam melalui beberapa kamera litar tertutup yang dipasang di dalam kilang berkenaan.

“Kilang ini dipercayai baru beroperasi iaitu sekitar dua atau tiga bulan lepas. Arak tiruan ini diproses di kilang persendirian di kawasan seluas tiga atau empat ekar,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya usaha mengesan dalang utama sindiket itu sedang dijalankan.

Mengenai rampasan, Abdul Latif berkata sebanyak 59,104 liter minuman keras bernilai RM344,644.80 dirampas dengan cukai berjumlah RM1.952 juta.

Katanya turut dirampas ialah beberapa mesin memproses bahan mentah, set tangki penapaian, mesin label dan cap dagang serta peralatan makmal bernilai RM1 juta.

“Minuman keras tiruan yang menggunakan jenama dari negara Jerman ini dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan dengan menyasarkan warganegara asing selain dijual pada harga lebih murah berbanding harga pasaran produk sebenar,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat menurut Seksyen 74 (1) (f) Akta Eksais 1976.