sukan@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Selepas membuka ‘akaun’ gol pertamanya bersama Terengganu FC (TFC) Jumaat lalu, Gervane Kastaneer idam buru jaringan kedua pada penampilan ketiganya musim ini.
Jelas penyerang skuad Piala Dunia negara Curacao 2026 itu, dia kini kian ‘bernafsu’ untuk memburu jaringan seterusnya biarpun sedar impian itu tidak mudah direalisasikan.
Bagaimanapun pemain kelahiran Belanda itu akui dia perlu gandakan usaha bagi memastikan misi itu berjaya dicapai sekali gus membantu pasukannya layak ke peringkat separuh akhir saingan Piala Malaysia pada musim ini.
TFC yang kini dibimbing ketua jurulatih sementara, Tengku Hazman Raja Hassan bakal berdepan dengan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi timbal balik suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, pada petang Ahad ini.
“Selepas penampilan kedua bersama TFC, akhirnya saya berjaya menjaringkan gol pertama ketika berdepan KL City pada aksi suku akhir pertama di tempat sendiri Jumaat lalu.
“Namun secara peribadi saya belum berpuas hati sepenuhnya corak permainan kerana itu bukan persembahan terbaik saya, namun sebagai penyerang saya gembira lebih-lebih lagi mendapat sorakan gemuruh daripada peminat.
“Pada masa sama jaringan pertama itu sebenarnya begitu dinanti-nantikan, jadi selepas jaringan itu pastinya tekanan yang dihidapi akan hilang dan lebih bebas untuk meledak jaringan seterusnya.
“Terima kasih atas bantuan rakan sepasukan dan sikap positif peminat sehingga berjaya menjaringkan gol selepas gagal melakukannya pada aksi pertama dalam saingan Liga Super ketika bertemu Selangor FC,” ujar bekas pemain kelab Persis Solo dalam Liga Indonesia itu.
Mengulas lanjut, pemain berusia 29 tahun itu tekad bekerja lebih gigih lagi bagi memastikan impian peminat untuk melihat pasukan mara ke separuh akhir saingan trofi berprestij dalam Malaysia itu tercapai.
“Saya tekad akan bekerja lebih keras lagi untuk membantu TFC dalam setiap perlawanan terutama untuk layak ke separuh akhir kedua dengan menjaringkan lebih banyak lagi gol.
“Pastinya dengan sokongan peminat ia bakal menambah lagi semangat kami ketika beraksi biarpun bertandang di stadium lawan,” kata penyerang baharu TFC itu yang ‘dirantai’ pada jendela kedua perpindahan pemain bulan lalu.
Pada aksi suku akhir pertama saingan itu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, skuad Penyu dan The City Boys masing-masing liat untuk ditewaskan selepas terikat 1-1 hasil jaringan Kastaneer dan Nicolao Dumitru.
© New Straits Times Press (M) Bhd



