am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pertengkaran atau perselisihan faham dikenal pasti sebagai punca utama kes pembunuhan kejam di Malaysia berdasarkan rekod 2023 dan 2024.
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman memaklumkan siasatan polis terhadap kes bunuh turut merangkumi motif kejadian kerana ia dapat membantu pihaknya untuk mengenal pasti suspek dikehendaki.
“Hasil siasatan dilakukan mendapati antara motif dikenal pasti dalam kes bunuh sepanjang tempoh itu adalah pertengkaran atau perselisihan faham, mabuk atau khayal (dadah dan minuman keras), balas dendam, cuai ketika memburu, cemburu dan dera.
“Pertengkaran atau perselisihan faham adalah motif paling tinggi direkodkan dalam kes bunuh membabitkan 219 kes bunuh.
“Dalam kebanyakan kes, ia berpunca daripada kemarahan dan timbul perasaan tidak puas hati yang menyebabkan pembunuhan berlaku,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, pada 2023, motif tertinggi bagi kes bunuh adalah pertengkaran atau perselisihan faham membabitkan 115 kes atau 44 peratus diikuti mabuk atau khayal (25 kes) cemburu (18 kes) dan samun atau curi (15 kes).
“Bagi tahun 2024 pula, motif tertinggi kes bunuh adalah pertengkaran atau perselisihan faham membabitkan 104 kes atau 48 peratus diikuti mabuk atau khayal (20 kes), balas dendam (11 kes) dan cuai ketika memburu (7 kes).
“Hasil soal siasat terhadap suspek serta saksi mendapati pengambilan minuman keras berlebihan turut menyebabkan suspek hilang kawalan dan bertindak membunuh mangsa.
“Kebanyakan kes bunuh bermotifkan mabuk atau khayal, majoriti mangsa membabitkan warga asing,” katanya.
Selain itu, katanya, masalah rumah tangga juga menunjukkan peningkatan bagi motif kes bunuh bagi sepanjang tempoh berkenaan.
“Pada 2023 pula, tiada kes bunuh bermotifkan masalah rumah tangga direkodkan. Bagaimanapun, terdapat lima kes bunuh direkodkan bagi tempoh tahun 2024.
“Ini berpunca daripada gangguan orang ketiga dalam perkahwinan; tiada persefahaman yang membawa kepada perceraian; masalah tekanan hidup serta rasa tidak puas hati yang mendorong kepada tindakan luar kawalan.
“Suspek dalam kes ini lazimnya adalah suami atau bekas suami dan anak kepada mangsa kes bunuh,” katanya.
Katanya, motif cuai ketika memburu juga menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 250 peratus apabila tujuh kes direkodkan pada Januari hingga November 2024 berbanding hanya dua kes pada 2023.
“Cuai ketika memburu ini terjadi kerana pemburu pada asalnya mahu menembak binatang buruan berdasarkan pergerakan di dalam hutan dan pantulan cahaya, namun tidak sengaja tertembak manusia.
“Sepanjang siasatan kes bunuh pada 2023, sebanyak 48 kes yang tidak dapat dikenal pasti motif pembunuhan, manakala bagi tahun 2024 pula, sebanyak 25 kes direkodkan.
“Analisis yang dijalankan mendapati antara punca yang menyumbang kepada motif tidak dapat dipastikan adalah kerana suspek tidak berjaya ditahan,” katanya.
Katanya, situasi itu berlaku berikutan kebanyakan mangsa bunuh di bawah kategori itu adalah mayat yang ditemui di tepi jalan, identiti mangsa tidak dapat dikenal pasti, tiada tangkapan dibuat atau tangkapan dibuat tiada berkait dengan kes bunuh.
“Bagi tangkapan dibuat yang tiada berkait dengan kes bunuh, suspek hanya dijadikan sebagai saksi pendakwaan sehingga suspek kes bunuh sebenar berjaya ditahan,” katanya.
Berita berkaitan
© New Straits Times Press (M) Bhd