zatuliffah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Family (keluarga) obesiti.” Itu gelaran yang selalu diberikan sejak kecil membuatkan tiga beradik nekad menurunkan berat badan kerana tidak tahan menjadi bahan ejekan.
Selain menjadi mangsa body shaming (sindiran badan), Nur Izreen Fifi Abdul Razak, 33, bersama adiknya, Nur Izreen Ashiqeen, 25, dan Muhammad Izad Azrul, 24, mengambil keputusan itu demi kesihatan dek kerana menghidap pelbagai penyakit akibat berat badan berlebihan.
Menurut Nur Izreen Fifi atau mesra dipanggil Fifi, dia dan dua adiknya sering menjadi bahan usikan sejak kecil kerana bersaiz besar sejak kecil.
Katanya, mereka pada awalnya tidak mengambil pusing ejekan diterimanya namun seiring dengan peningkatan usia, ia mula menyentuh hati mereka terutama apabila ibu mereka turut dijadikan bahan gurauan.
“Sebenarnya, adik (Muhammad Izad Azrul) yang mula berdiet sebab tidak tahan dihina selain faktor kesihatan sendiri sebelum saya mengikut jejak langkah adik.
“Pada awalnya, saya cuba mengawal pemakanan namun, agak sukar kerana menghidap penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan kolestrol tinggi.
“Hasil perbincangan dengan doktor, saya dinasihatkan untuk melakukan pembedahan bariatrik pada Julai 2024,” katanya yang mengalami penurunan daripada 120 kilogram (kg) ke 70kg dalam tempoh enam bulan.
Bagi Muhammad Izad Azrul, beratnya pernah mencecah 200kg sebelum dia mengambil keputusan untuk menjaga pemakanan pada Mei 2023.
“Saya mula menjaga makanan dengan mengamalkan pemakanan yang sihat dan bersenam, Alhamdulillah, dalam tempoh hampir dua tahun, saya berjaya turun 100kg.
“Namun, ada juga hari saya akan hari mengelat atau cheat day bagi melepaskan kempunan.
“Selain mengalami penurunan berat badan, saya kini lebih sihat malah, mereka yang pernah mengata dan menghina kami lebih besar daripada kami tiga beradik,” katanya yang bekerja sebagai pereka grafik.
Seperti dua beradiknya, Nur Izreen Ashiqeen atau mesra dipanggil Ashiqeen berkata, dia mula berdiet tiga minggu lalu dan berjaya menurunkan berat badan daripada 120kg ke 105kg.
“Saya sendiri ada penyakit kencing manis dan bila tengok kakak serta adik berjaya menurunkan berat badan mereka, saya juga ingin melakukan perkara yang sama.
“Seperti dua beradik, tentunya kata-kata hinaan menjadi pembakar semangat dan tentunya fokus utama demi kesihatan,” katanya.
Terdahulu, tiga beradik itu menjadi tetamu program Malaysia Hari ini di Balai Berita Bangsar di sini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




