am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kerana terlalu percayakan kata-kata manis lelaki dikenali menerusi media sosial, seorang pengusaha kosmetik rugi lebih RM240,000 selepas terpedaya dengan perniagaan peralatan perkhemahan yang tidak wujud.
Mangsa dikenali sebagai Chan, 51, mendakwa berkenalan dengan lelaki itu melalui kumpulan media sosial aktiviti luar dan perkhemahan sebelum hubungan mereka menjadi rapat.
“Hanya dalam tempoh tiga hari dia sudah panggil saya ‘sayang’, ‘baby’, ‘dear’. Sebagai ibu tunggal yang membesarkan anak lelaki selama 18 tahun, saya tidak pernah rasa diberi perhatian begitu,” katanya dalam sidang media anjuran Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), di sini, hari ini.
Menurutnya, suspek mendakwa memerlukan modal untuk menjalankan perniagaan sewaan peralatan perkhemahan dan memujuknya untuk melabur.
“Saya serahkan wang secara berperingkat, dalam talian dan tunai, sehingga jumlahnya mencecah RM240,600. Tetapi selepas lebih setahun, saya tidak pernah terima satu sen pun,” katanya.
Malah katanya, apabila mula menyemak latar belakang ‘perniagaan’ itu, dia mendapati lelaki terbabit tidak pernah mendaftarkan syarikat secara sah dan turut mengemukakan resit disyaki palsu.
“Saya tuntut semula wang saya, tetapi dia enggan berunding dan mula bersikap agresif. Kini dia sudah menyekat semua komunikasi,” katanya.
Mangsa percaya suspek turut memperdaya ramai wanita lain dan masih aktif mencari lebih ramai mangsa.
“Setakat ini kami kenal pasti lebih 10 mangsa wanita. Penipuan dia bukan sahaja bab cinta dan wang, tapi juga ugutan. Dia masih bebas dan kami bimbang dia akan cari mangsa baharu,” katanya.
Sementara itu, rakannya, Joe Teoh, 58, berkata dia mula mengesyaki sesuatu tidak kena selepas Chan berkongsi mengenai pelaburan berkenaan.
“Saya cuba hubungi lelaki itu dan dia balas dengan ugutan. Dia kata dia tahu saya tinggal di mana dan minta saya jangan masuk campur,” katanya.
Katanya, dia berharap wanita lain yang aktif dalam aktiviti luar lebih berhati-hati agar tidak menjadi mangsa penipuan yang sama.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kelewatan siasatan terhadap kes berkenaan boleh menyebabkan ketidakadilan kepada mangsa.
“Kami merayu kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) IPD Timur Laut, Pulau Pinang untuk menyiasat kes ini secara menyeluruh dan segera agar tiada lagi mangsa seterusnya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd