London: Pakar fisioterapi yang merawat Diogo Jota mendedahkan bintang Liverpool yang tragis itu memberitahunya dia ‘teruja dan gembira untuk masa depan’ hanya beberapa jam sebelum kemalangan maut yang meragut nyawanya.
Pemain berusia 28 tahun itu meninggal dunia bersama adiknya, Andre Silva, selepas tayar kereta mereka meletup ketika dalam perjalanan melalui Zamora, Sepanyol, kelmarin.
Mereka dalam perjalanan ke Santander untuk menaiki feri ke UK, dengan Jota menuju kembali ke Liverpool.
Jota menjalani rawatan bersama fisioterapinya, Miguel Goncalves dalam proses pemulihannya daripada pneumothorax iaitu paru-paru bermasalah.
Goncalves berkata Jota dan abangnya bertolak pada pukul 8:30 malam, dengan niat untuk berhenti di sebuah hotel di kawasan Burgos sebelum menaiki feri yang dijadualkan tiba di England semalam.
Beliau berkongsi bagaimana perasaan Jota, bapa kepada tiga anak yang baru sahaja berkahwin dengan kekasih zaman kanak-kanaknya beberapa minggu lalu, sebelum dia berangkat mendedahkan dia sangat teruja dan bersemangat untuk musim akan datang.
Goncalves berkata kepada akhbar Portugal, Record: “Dia membuat pemulihan yang luar biasa, dia sememangnya seorang profesional tiada tandingan.
“Dia mengikuti semua arahan saya dengan teliti, seperti dapat dilihat melalui proses pemulihannya. Dasar paru-paru kanannya runtuh sedikit, tetapi melalui fisioterapi pasca pembedahan, dia hampir pulih sepenuhnya.
“Ketika saya meninggalkannya semalam, dia tidak lagi merasa sakit dan akan kembali ke Liverpool. Dia teruja, yakin dengan pemulihannya dan bersemangat untuk musim baharu.
“Dia memberitahu saya dia tidak akan menyertai jelajah pramusim ke Jepun demi memperkukuh pemulihannya. Dia percaya dia akan menikmati musim yang hebat.”
Pengebumian Jota diadakan hari ini di kampung halamannya, Gondomar, berhampiran Porto di Portugal.
© New Straits Times Press (M) Bhd