Kata nak bincang politik, tapi ADUN P Pinang raba saya, dakwa wanita

Polis mengesahkan laporan diterima dan kes dikelaskan bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

GEORGE TOWN: Seorang pembantu kedai menuduh seorang ADUN Pulau Pinang mencabul kehormatannya, ketika mereka berjumpa untuk berbincang “hal politik semasa”, dua minggu lalu.

Menurut laporan polis yang dilihat FMT, wanita itu, yang juga turut terlibat aktif dalam parti, mendakwa diraba dan dipeluk wakil rakyat itu semasa mereka dalam perjalanan ke restoran di Lembah Klang.

Katanya lagi, ahli politik itu juga “melakukan perkara yang tidak diingini dan perjalanan menjadi agak panjang ke restoran itu”.

“Walaupun beliau mengetahui saya tidak senang dengan situasi itu, namun beliau tetap berkelakuan seperti itu,” katanya dalam laporan yang dilihat FMT.

“Beliau juga mengingatkan supaya tidak memberitahu sesiapa.”

Menurut wanita itu, yang kata aktifnya dalam parti politik, mereka berjumpa sebelum kejadian kerana wakil rakyat itu ingin berbincang tentang “hal politik semasa” bersamanya.

Wanita itu berkata ADUN itu juga ingin membeli “hadiah” sempena ulang tahun kelahirannya, dan rasa berbesar hati untuk bertemu beliau.

“Ketika kami keluar dia menunjukkan perbuatan yang kurang menyenangkan,” menurut laporan itu, dan menambah di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, “saya dapat melihat beliau cuba mendekati saya bukan seperti ahli politik.”

Sementara itu, polis ketika dihubungi FMT mengesahkan laporan itu.

Ketua Polis Subang Jaya, Khalid Othman, berkata kes dikelaskan bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.