Katerer ghaib, pengantin rugi RM11,000, ibu terpaksa gadai gelang emas

Katerer ghaib, pengantin rugi RM11,000, ibu terpaksa gadai gelang emas

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sepasang pengantin kerugian lebih RM11,000 apabila terpaksa mencari katerer ganti selepas seorang wanita yang menjalankan perniagaan katering ‘ghaib’ pada majlis perkahwinan mereka di Tampin, Negeri Sembilan pada 31 Januari lalu.

Menceritakan kejadian itu, kakak pengantin perempuan yang hanya mahu dikenali sebagai Mimie, 25, berkata, tindakan tidak bertanggungjawab wanita berkenaan hanya diketahui pada hari majlis perkahwinan berkenaan berlangsung.

“Adik maklumkan menerima mesej wanita berkenaan di WhatsApp yang memberitahu dia tidak dapat hadir (menyediakan makanan) pada majlis itu kira-kira jam 4 pagi hari kejadian.

“Dalam mesej berkenaan, wanita itu hanya minta maaf dan maklum tidak dapat hadir kerana ada hal tidak dapat dielakkan.

“Cubaan adik saya menghubunginya untuk minta penjelasan gagal apabila mesej tidak dihantar, manakala panggilan pula masuk ke peti suara,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam keadaan kelam kabut, katanya, mereka sekeluarga membantu adiknya mencari katerer ganti dalam tempoh beberapa jam lagi majlis perkahwinan berlangsung.

“Apa yang membuatkan kami terkilan adalah tindakan tidak bertanggungjawab wanita berkenaan menyebabkan ibu terpaksa menggadaikan gelang emasnya bagi membayar dua katerer ganti yang menyediakan makanan untuk 500 orang.

“Sejujurnya, kami tiada kos tambahan untuk katerer lain memandangkan kos untuk katering dalam majlis berkenaan sudah dibayar kepada wanita terbabit iaitu sebanyak RM5,800,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, mereka terpaksa membayar kos tambahan kira-kira RM6,000 untuk mendapatkan katerer ganti pada saat akhir.

Mimie berkata, dia mencadangkan adiknya untuk menggunakan katerer diusahakan wanita berkenaan selepas melihat kelancaran pada majlis perkahwinannya pada Ogos tahun lalu di lokasi sama.

“Sebelum ini, saya guna khidmat katerer itu bagi menyediakan makanan kepada 500 orang dalam majlis perkahwinan saya selepas melihat iklan di Facebook.

“Pakej yang ditawarkan wanita berkenaan amat murah iaitu RM6,500 untuk set nasi minyak bersama tiga lauk, buah serta air minuman selain cendol serta aiskrim percuma.

“Ketika majlis perkahwinan saya, tiada sebarang masalah berlaku. Malah, kesemua juadah disediakan wanita itu juga sedap.

“Melihat keadaan itu, saya mencadangkan adik untuk menggunakan katerer sama, namun lain pula jadinya,” katanya.

Menurutnya, wanita berkenaan memberikan lebih diskaun kepada adiknya iaitu RM6,250 bagi menyediakan menu sama bagi 500 orang.

“Adik membuat pembayaran kepada wanita itu menerusi beberapa transaksi pemindahan wang sehingga RM5,800, manakala selebihnya akan dibayar pada hari majlis berlangsung.

“Kami terkilan kerana wanita berkenaan tergamak menghilangkan diri begitu sahaja sedangkan kos untuk katerer sudah dibayar lebih 80 peratus,” katanya.

Mimie turut mendakwa terdapat dua lagi pasangan pengantin yang menggunakan khidmat katerer sama menjadi mangsa penipuan apabila wanita berkenaan juga tidak hadir pada majlis perkahwinan mereka pada tarikh sama.

“Apabila saya muat naik hantaran mengenai tindakan wanita itu yang ‘lesap’ di media sosial, ada beberapa individu maklum mereka juga menjadi mangsa.

“Rupanya wanita itu ambil tiga ‘job’ (majlis) pada hari sama dan tidak hadir di ketiga-tiga majlis berkenaan,” katanya yang memaklumkan adiknya sudah membuat laporan berhubung kejadian terbabit di Balai Polis Gemencheh.

Katanya, dia berharap wanita berkenaan akan memulangkan semula wang sebanyak RM5,800 yang sudah dibayar adiknya dalam masa terdekat.

“Apa yang jadi sudah pun berlaku, nasi dah jadi bubur. Apa yang kami mahu sekarang adalah wanita berkenaan memulangkan semua wang yang diberikan adik kepadanya.

“Sehingga kini, adik belum mendapat semula wangnya daripada wanita berkenaan. Kami harap wang itu dapat dipulangkan dalam masa terdekat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top