Katy Perry cemas 'prop' rama-rama gergasi rosak, bergegar mendadak

Katy Perry cemas 'prop' rama-rama gergasi rosak, bergegar mendadak

California: Belum reda insiden membabitkan Beyonce, kini giliran Katy Perry, 41, pula berdepan detik cemas apabila ‘prop’ rama-rama gergasi yang dinaikinya tiba-tiba mengalami kerosakan.

Terdahulu, insiden tidak diduga itu dialami Perry ketika dia membuat persembahan dalam siri konsert jelajah Lifetimes Tour di San Francisco, malam Jumaat lalu.

Kejadian berlaku di tengah-tengah persembahan lagu hit, Roar yang dilancarkan pada 2013, di Chase Center itu apabila ‘prop’ yang menggantung Perry di udara di atas ribuan penonton, bergegar secara mendadak.

Beberapa video yang dikongsi peminat di media sosial memaparkan Perry terpaksa menghentikan nyanyiannya sejurus insiden itu berlaku, namun dia berjaya mengimbangi tubuh serta kekal tenang.

Perry turut dilihat memandang ke arah bahagian sambungan kabel yang mengikat ‘prop’ berkenaan sebelum meneruskan semula persembahan walaupun ketika itu prop masih berayun.

Insiden membabitkan Perry itu menjadi kejadian kedua seumpamanya yang berlaku dalam konsert jelajah artis ternama sepanjang musim panas ini.

Bulan lalu, penyanyi Beyonce turut mengalami situasi mencemaskan apabila ‘prop’ kereta terbang yang digunakan dalam konsert Cowboy Carter di Houston, Amerika Syarikat, tiba-tiba condong dan tidak stabil ketika tergantung di udara.

Namun, menurut kenyataan dikeluarkan syarikat pengurusan Beyonce, penyanyi itu berjaya diturunkan dengan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top