lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Kalau nak, abang bayar RM10 sekarang, kalau tak nak, abang boleh ‘chow’ (pergi).”
Kata-kata kurang sopan itu didakwa diluahkan remaja lelaki yang bekerja sebagai ‘ulat parkir’ di ibu kota, selepas seorang pemilik kereta mempertikaikan tindakan remaja terbabit meminta wang daripadanya.
Situasi itu yang dikongsi di TikTok kelihatan biasa, namun boleh mengundang ancaman ke atas pemilik kenderaan sekiranya ulat parkir bertindak di luar batasan apabila tidak menerima bayaran.
Tidak mustahil ibu negara bakal dikuasai ulat parkir seandainya tiada tindakan diambil terhadap golongan itu yang kini dikatakan semakin berani bersemuka dengan lagak seperti samseng, berbanding dahulu yang lebih banyak menunggu.
Mengesahkan situasi didakwa pengguna TikTok itu, wartawan melakukan tinjauan di tiga lokasi sekitar ibu negara iaitu Jalan Hang Jebat, Jalan Sultan dan Jalan Sri Hartamas 22 yang mendapati lokasi berkenaan ‘dikawal’ tiga ulat parkir berusia lingkungan 20-an hingga 30-an.
Jalan Sri Hartamas 22 memiliki antara 30 hingga 50 petak parkir kelolaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), namun ia seolah-olah menjadi milik peribadi ulat parkir terbabit yang sewenang-wenangnya menghampiri pemilik kenderaan untuk menuntut bayaran.
Bayaran yang dikenakan pula antara RM5 hingga RM10, kononnya sebagai upah membantu menjaga lalu lintas dan mengawasi kenderaan orang ramai yang datang ke lokasi tumpuan itu, khususnya ke restoran terkenal.
Lebih menghairankan, di Jalan Hang Jebat dan Jalan Sultan, ulat parkir ini menuntut wang daripada pemilik kenderaan yang parkir di bahu jalan, bukannya di dalam petak parkir.
Pelancong tempatan yang hanya ingin dikenali sebagai Qistina, 25, mendakwa dia pernah diugut apabila enggan membayar ulat parkir.
“Saya hanya parkir di bahu jalan dan bukan dalam kotak parkir. Apa hak dia hendak kutip bayaran?
“Dia ugut dengan berkata ‘Puan tengoklah kereta puan nanti kalau tak bayar. Ini kawasan kami jaga!’,” katanya.
Situasi serupa ditemui di Jalan Sultan apabila pemandu kenderaan akan didekati ulat parkir sebaik sahaja meletakkan kereta.
“Kau nak parkir sini? Bayar sekarang! Jangan buang masa aku!” tempik seorang lelaki tempatan bertopi kepada wartawan Harian Metro yang cuba meninjau keadaan.
Pengguna jalan raya, Ahmad Fuad Abdullah, 35, pula berkata, keberadaan ulat parkir menunjukkan isu berkenaan yang sebelum ini pernah hangat, belum dapat dibanteras sepenuhnya.
Justeru, dia berharap pihak DBKL dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak berkompromi dengan kegiatan haram itu dan sentiasa menjalankan operasi.
“Saya tiada pilihan, terpaksa bayar demi keselamatan. Kalau tak, risau pula kereta dicalar atau tayar dipancitkan.
“Anak isteri pun ada sekali dalam kereta, jadi lebih baik elak pergaduhan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




