Kau sahabat yang baik Mal… selalu buang orang sekeliling senang…

Kau sahabat yang baik Mal… selalu buang orang sekeliling senang…

mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Dua sahabat ini pernah mengukir janji bersama mahu menamatkan pengajian dan membanggakan keluarga masing-masing dengan kejayaan dilakar mereka.

Namun, takdir Allah SWT tertulis apabila salah seorang daripada mereka, Muhammad Akmal Md Tukirin, 20, terkorban dalam kemalangan tragis, di hadapan kampusnya, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu, malam kelmarin.

Berkongsi kesedihan kehilangan mengejut sahabat baiknya itu, individu dikenali sebagai Zhafrannz berkata, dia dan Muhammad Akmal pernah berjanji mahu sama-sama meraikan konvokesyen mereka selepas tamat pengajian sarjana muda masing-masing.

“Aku terkilan sebab kau tak dapat habiskan degree (ijazah sarjana muda) sama-sama. Kau janji nak amik (ambil) gambar degree pakai jubah konvo (konvokesyen) sama-sama.

“Kau janji sama-sama nak banggakan parents (ibu bapa) tetapi Allah lebih sayang kau Akmal,” katanya dalam perkongsian di TikTok, semalam.

Perkongsian penuh menyentuh hati itu yang dilatari dengan lagu Pergi nyanyian Aizat Amdan itu turut dilampirkan dengan beberapa gambar kenangan ketika mereka menuntut di Politeknik Merlimau, Melaka dan meraikan konvokesyen bersama beberapa tahun lalu.

Sepanjang mengenali insan itu, Zhafrannz berkata, Muhammad Akmal memiliki keperibadian mulia selain seorang periang dan menyenangkan individu sekeliling.

“Kau sahabat yang baik Mal… Kau kawan yang periang dan selalu buat orang sekeliling senang dengan kau.

“Aku reda dengan pemergian kau… semoga tenang di sana sahabat, Muhammad Akmal Md Tukirin,” katanya.

Muhammad Akmal yang juga penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perkhidmatan Makanan UiTM Dungun maut bersama dua lagi rakannya, Ku Adib Aizad Ku Azmi serta Khairil Anwar Jamaludin manakala seorang lagi rakan mereka, Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan yang parah kini dilaporkan stabil di Hospital Dungun.

Kejadian tragis itu berlaku apabila motosikal ditunggangi mereka yang dalam perjalanan pulang ke UiTM Dungun selepas keluar makan di kedai berhampiran, dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV di hadapan kampus mereka, kira-kira 7.20 malam, Rabu lalu.

Wanita dipercayai pesakit mental yang merempuh dua motosikal terbabit pula direman empat hari dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

#kw muhammad akmal, mahu banggakan, keluarga, tamat pengajian, bersama, janji dua sahabat, rakan baik, kemalangan, uitm, dungun,

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top