rencana@hmetro.com.my
Di sebalik yang lembut siapa sangka gadis ini pemenang anugerah Hard Skills Gold Medal pertandingan World Skill Asean di Manila, Filipina Ogos baru-baru ini.
Pelajar jurusan Kursus Automotif Kolej Vokasional (KV) Kajang, Noraisyah Azlin, 19, berkata, kejayaannya mendapat anugerah di pertandingan berkenaan adalah kerana kesungguhan tenaga pengajar di KV Kajang yang membuatnya sentiasa bersemangat.
“Sebaik saya dinobatkan Gold Medal, rasa sebak kerana usaha pasukan terutama tenaga pengajar KV Kajang yang tidak berbelah bagi membantu mengajar saya dengan gigih dan ia kunci kejayaan ini. Terima kasih juga atas bantuan mereka,” katanya.
Dia ditemui ketika di Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Kemahiran Kolej Vokasional (KV Skills) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-9 di Dewan Sri Gemilang KV Port Dickson, baru-baru ini.
Katanya, sememangnya dia amat berminat dengan bidang automotif sejak kecil lagi.
“Cita-cita saya mahu menguasai bidang ini dan berhasrat mahu menjadi tenaga pengajar automotif kerana sudah terbukti kaum wanita mampu menguasai ilmu berkenaan,” kata anak sulung dari tiga beradik ini.
Rakannya, pemenang Bronze Medal, Muhammad Aidil Fahmi Aznan, 20, dari KV Buterworth, Pulau Pinang pula berkata, dia bersyukur kerana terpilih menang tempat ketiga Bronze Medal.
“Kita menang tempat pertama dan ketiga di peringkat Asean sudah memadai untuk saya berbangga kerana kami wakili Malaysia,” katanya.
Sementara itu, pemenang bagi kategori Tangan Emas, Carpentry ialah Muhaimin Sainy, 19, dari Batu Pahat, Johor.
Kekemasan ciptaannya menobatkannya menang Tangan Emas di peringkat kebangsaan.
“Saya minat dan akan terus melakukan tugas ini serta amat berterima kasih kepada tenaga pengajar di KV Batu Pahat yang tidak jemu mendidik,” katanya.
Seorang lagi pemenang Tangan Emas, Muhammad Anaqi Darwisy Md Azman, 19, dari KV Kuala Krai, Kelantan.
Bagaimanapun, seorang lagi pemenang Gold Medal kategori Web Teknologies, Muhammad Zahidi Mohd Zaidi daripada KV Sungai Petani 1 tidak hadir pada majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Kemahiran Kolej Vokasional (KV Skills) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-9 itu atas sebab tertentu.
Hadir merasmikan majlis, Exco Kerajaan Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Modal Insan, Datuk Ismail Lasim.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Kanan Kluster Pembangunan Kurikulum dan Program TVET Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional Kementerian Pendidikan, Dr Shah Jahan Assanarkutty.
Dalam pada itu, Johor pula diumumkan menang keseluruhan Pertandingan Kemahiran Kolej Vokasional (KV Skills) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-9.
© New Straits Times Press (M) Bhd




