Kaum Hawa & novel tak dapat dipisahkan

Kaum Hawa & novel tak dapat dipisahkan

asyikin.mat@hmetro.com.my

Wanita yang gemar membaca novel biasanya bukan sekadar pembaca, tetapi ‘penghayat cerita’

Minat membaca novel sering dilihat sebagai hobi yang sederhana.

Namun, di sebaliknya, tersembunyi gambaran personaliti pemilik hobi ini yang dikatakan unik.

Wanita yang gemar membaca novel biasanya bukan sekadar pembaca, tetapi ‘penghayat cerita’.

Ini kerana, mereka hidup bersama setiap watak dan emosi dalam kisah yang dibaca.

WM minggu ini berkongsi sedikit sebanyak personaliti wanita yang gemar membaca novel.

1- Refleksi diri yang kuat

Ramai wanita yang sukakan novel sering mengaitkan kisah di dalam novel berkaitan dengan kehidupan sendiri.

Mereka mungkin bertanya, “Apa yang saya akan buat jika berada dalam situasi ini?” atau “Adakah saya seperti watak ini?”.

Proses ini membantu mereka memahami diri sendiri dengan lebih baik, belajar mengenali emosi, kekuatan dan kelemahan diri secara perlahan.

2- Empati Tinggi

Keupayaan memahami perasaan orang lain dengan lebih baik adalah satu daripada kesan paling ketara hasil minat membaca novel.

Ini kerana, ia membawa pembaca mendalami penceritaan novel sama ada berkisarkan percintaan, kehilangan atau konflik.

Secara tidak langsung, mereka belajar merasai emosi itu.

Sekali gus, ia menjadikan mereka lebih sensitif terhadap perasaan orang sekeliling.

Selain itu, mereka mudah memahami bahasa tubuh, nada suara dan perubahan emosi serta sering menjadi tempat orang lain meluahkan perasaan.

3- Berjiwa mendalam

Mereka cenderung menyelami maksud tersirat di sebalik setiap dialog dan novel.

Novel sering membuatkan mereka berfikir mengenai kehidupan, pilihan dan akibat daripada sesuatu tindakan.

Ini menjadikan mereka individu yang suka merenung dan menilai sesuatu dengan lebih mendalam, bukan sekadar melihat daripada sudut luaran.

Dalam kehidupan sebenar, mereka juga sering memikirkan ‘kenapa’ dan ‘bagaimana’ sesuatu itu berlaku.

4- Tenang dan suka kesunyian

Wanita yang suka membaca novel kebiasaannya lebih menghargai suasana tenang berbanding suasana bising atau sibuk.

Kesunyian ini menjadi ruang yang selesa untuk mereka fokus kepada dunia bacaan.

Selain itu, mereka juga berpeluang ‘masuk’ ke dalam kisah dalam novel tanpa gangguan.

Malah, kesunyian juga memberi mereka peluang untuk berehat daripada tekanan sosial.

5- Cara ‘healing’ dan lepaskan tekanan

Apabila wanita penat dengan dunia nyata, mereka memilih untuk ‘masuk’ ke dunia dalam novel bagi memenangkan fikiran.

Aktiviti ini membantu mengurangkan tekanan, memberi rehat kepada emosi dan memulihkan tenaga mental.

Selalunya, peminat novel akan berasa lebih tenang, segar dan mampu menghadapi realiti dengan lebih stabil, selepas membaca novel.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top