Kajang : Bimbang melihat ramai individu mengambil masa lama untuk membuang rasa bersalah sebelum mendapatkan bantuan profesional, kaunselor berdaftar, Jocelyn Tan mengambil inisiatif membuka pusat terapi psikologi Heart Collab Psychology di Taman Kajang Putra, di sini.
Pembukaan pusat berkenaan bertujuan merapatkan jurang perkhidmatan kesihatan mental yang sebelum ini lebih tertumpu di kawasan Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, sekali gus memudahkan akses bagi penduduk di sekitar Kajang, Semenyih serta Bangi.
Jocelyn, 30, yang merupakan graduan HELP University dan Merrimack College, Amerika Syarikat berkata, kekangan jarak dan masa sering menjadi beban tambahan kepada individu yang mengalami tekanan emosi.
“Kajang mempunyai makna yang sangat istimewa bagi saya kerana di sinilah tempat tinggal saya. Oleh itu, saya ingin menyediakan perkhidmatan yang lebih dekat dengan komuniti sendiri.
“Terapi bukanlah bertujuan untuk mencapai kesempurnaan kerana sering kali tekanan yang dialami sebenarnya berpunca daripada keinginan untuk menjadi sempurna. Sebaliknya, ia membantu memahami ketakutan terpendam serta cara mengatasinya,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian pusat berkenaan, baru-baru ini.
Mengulas isu kos perkhidmatan swasta yang disifatkan tinggi, Jocelyn menjelaskan pihak pusat terapi menawarkan struktur bayaran mengikut bajet klien serta pakej berpatutan bagi sesi berterusan.
Malah, beliau turut merancang untuk mengambil ahli terapi pelatih di bawah penyeliaan pakar bagi menyediakan perkhidmatan pada kadar yang lebih mampu milik pada masa hadapan.
Katanya, kebanyakan isu awal yang dibawa klien berpunca daripada tekanan kerja atau akademik, namun proses terapi mendapati puncanya berkait rapat dengan aspek emosi seperti kesukaran berkata ‘tidak’ serta pengaruh budaya membandingkan diri di media sosial.
Justeru, selain perkhidmatan kaunseling individu, Jocelyn yang berpengalaman selama enam tahun dalam bidang itu berhasrat memperluaskan program pendidikan dan kesedaran kesihatan mental menerusi kerjasama dengan sekolah, universiti serta syarikat korporat.
© New Straits Times Press (M) Bhd



