Kaut pelaburan RM3 bilion

Kaut pelaburan RM3 bilion

mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: UOB Malaysia dan Invest Selangor Berhad berjaya menarik pelaburan lebih RM3 bilion ke Selangor dalam sektor infrastruktur digital, sains hayat, pembuatan termaju dan tenaga baharu.

Kejayaan itu dicapai menerusi kerjasama dengan empat syarikat yang mengemukakan Surat Hasrat semasa majlis perasmian Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026.

Syarikat itu adalah Galaxy DC Pte Ltd, pemaju infrastruktur pusat data hiperskala yang memfokuskan kecerdasan buatan (AI) serta Shenghui Biotechnology (Malaysia) Sdn Bhd yang merancang membangunkan kemudahan pemprosesan jagung dan pengeluaran ramuan khusus berskala besar di Selangor bagi menghasilkan produk berasaskan kanji, pemanis dan untuk penggunaan nilai tambah lain.

Dua lagi syarikat ialah Wuxi Weifu Environmental Catalysts Co Ltd, pengeluar pemangkin kawalan emisi automotif dan perindustrian yang berperanan dalam pertumbuhan ekosistem kenderaan tenaga baharu Malaysia serta XTC New Energy Materials (Xiamen) Co Ltd, pengeluar bahan bateri termaju yang menyokong rantaian nilai kenderaan elektrik dan penyimpanan tenaga.

Pencapaian itu turut menyokong aspirasi Rancangan Selangor Kedua (RS-2) dalam memperkukuh sektor perindustrian, menarik pelaburan berkualiti dan memacu pertumbuhan ekonomi mampan.

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Datuk Ng Wei Wei berkata, kejayaan membawa pelaburan itu adalah hasil kerjasama strategik pihaknya dengan Invest Selangor Berhad yang dimeterai pada November 2025 untuk menarik pelaburan global ke Selangor, memudah cara kemasukan syarikat multinasional ke pasaran serta menyokong pembangunan industri yang bersedia untuk masa hadapan.

Katanya, usaha itu memperlihatkan komitmen UOB dalam menghubungkan pelabur antarabangsa dengan peluang di rantau ASEAN, membantu mereka menembusi pasaran baharu dan memupuk perkongsian yang berkekalan.

“Melangkaui nilai pelaburan yang diumumkan, pelaburan berkenaan dijangka menjana manfaat ekonomi lebih luas menerusi pemindahan teknologi, pembangunan bakat dan peluang rantaian bekalan bagi perniagaan tempatan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pula mengalu-alukan peranan UOB Malaysia sebagai rakan strategik yang dipercayai dalam mempertingkatkan pelaburan ke Selangor.

“Cabaran kita pada hari ini bukanlah kekurangan modal tetapi bagaimana modal itu disalurkan.

“Perniagaan memerlukan akses kepada pembiayaan untuk melangkah ke tahap seterusnya dan memaksimumkan rantaian bekalan sedia ada sambil membangunkan rantaian bekalan baharu yang lebih berdaya tahan.

“Langkah terbaharu ini berjaya mengatasi cabaran itu dan amat selaras dengan aspirasi RS-2 yang bertujuan meningkatkan keupayaan perniagaan tempatan serta mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi untuk golongan muda. Ini strategi paling mampan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat Selangor,” katanya.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad, Datuk Hasan Azhari berkata, pelaburan itu membuktikan kekuatan ekosistem perindustrian, kesalinghubungan, kumpulan bakat serta persekitaran mesra perniagaan di Selangor.

“Melalui kerjasama dengan UOB Malaysia, kami dapat mendekati lebih ramai pelabur antarabangsa serta memudah cara pelaburan yang menepati keutamaan pembangunan strategik Selangor.

“Selain sumbangan langsung dari segi nilai pelaburan, projek ini dijangka memperkukuh keupayaan industri tempatan dan memantapkan kedudukan Selangor sebagai hab industri bernilai tinggi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan, XTC New Energy Materials (Xiamen) Co Ltd dan Pengarah, XTC (Hong Kong) New Energy Co Ltd, Zhang RuiCheng berkata, kemudahan mereka di Hulu Selangor akan memperkukuh keupayaan pembuatan bahan bateri di ASEAN serta menyumbang kepada pembangunan ekosistem mobiliti elektrik dan penyimpanan tenaga yang lebih berdaya saing.

“Seiring permintaan terhadap kenderaan elektrik dan penyelesaian penyimpanan tenaga yang terus berkembang, rantaian bekalan serantau yang berdaya tahan menjadi semakin penting,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Strategi, Galaxy DC Pte Ltd, Lynn Dai berkata, pelaburan berpotensi itu bertujuan memenuhi permintaan semakin meningkat terhadap perkhidmatan pengkomputeran awan, kecerdasan buatan dan penyimpanan data di rantau ini.

“Selain memperkukuh ekosistem digital Malaysia, pelaburan ini juga akan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi, meningkatkan keupayaan teknologi serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi digital yang berdaya tahan, mampan dan bersedia menghadapi masa hadapan,” katanya.

Turut senada, Pengurus Besar, Shenghui Biotechnology (Malaysia) Sdn Bhd, Karen Chen berkata, pelaburan mereka itu menandakan keyakinan terhadap potensi Selangor sebagai hab serantau bagi bioteknologi dan pembuatan bernilai tinggi.

“Kami berhasrat memperkukuh rantaian bekalan pertanian dan pembuatan tempatan, meningkatkan jaminan makanan menerusi inovasi bioteknologi serta menyumbang kepada pembangunan ekosistem yang lebih berdaya tahan dan mampan.

“Ini menerusi pembangunan kemudahan pemprosesan mendalam untuk jagung dan pengeluaran ramuan khusus bagi menghasilkan produk berasaskan kanji, pemanis dan penggunaan nilai tambah lain,” katanya.

Pada masa sama, Pengurus Besar Woofu Auto Sdn Bhd, Wuxi Weifu Environmental Catalysts Co Ltd, Liu Yong Chuan pula berkata, pelaburan terbabit bakal membuka peluang pekerjaan berkemahiran, menggalakkan pemindahan teknologi serta memperkasa pembangunan ekosistem perindustrian yang berdaya tahan serta mampan

“Pembukaan kemudahan pembuatan Wuxi Weifu yang menghasilkan komponen automotif serta produk kejuruteraan ketepatan dijangka memperkukuh rantaian bekalan automotif tempatan, mempertingkat keupayaan perindustrian dan memacu pertumbuhan sektor pembuatan bernilai tinggi di Malaysia,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top