saufi@mediaprima.com.my
MENDEPANI dunia digital masa kini, peranti pintar seperti telefon, tablet dan komputer riba menjadi alat penting dalam kehidupan harian.
Namun, penggunaan berlebihan boleh menjejaskan kesihatan fizikal, mental dan produktiviti. Justeru, kawalan masa penggunaan peranti amat penting untuk memastikan keseimbangan antara dunia digital dan kehidupan sebenar.
1. Tetapkan had masa skrin harian
Gunakan fungsi seperti *Screen Time* (iOS) atau ‘Digital Wellbeing’ (Android) untuk mengehadkan penggunaan aplikasi tertentu terutamanya media sosial dan permainan.
2. Amalkan Teknik 20-20-20
Setiap 20 minit melihat skrin, alihkan pandangan ke objek sejauh 20 kaki (lebih kurang 6 meter) selama 20 saat untuk mengurangkan keletihan mata.
3. Jadualkan waktu ‘bebas skrin’
Tetapkan masa tertentu seperti satu jam sebelum tidur atau waktu makan untuk tidak menggunakan sebarang peranti.
4. Aktifkan mod senyap atau fokus
Gunakan ciri-ciri ‘Do Not Disturb’ atau ‘Focus Mode’ bagi mengelakkan gangguan notifikasi ketika bekerja, belajar atau berinteraksi dengan keluarga.
5. Elakkan penggunaan peranti di katil
Penggunaan peranti sebelum tidur boleh mengganggu kualiti tidur kerana cahaya biru daripada skrin menghalang pengeluaran hormon melatonin.
6. Gunakan aplikasi pemantau masa
Aplikasi seperti ‘Forest,’ ‘Stay Focused’, atau ‘RescueTime’ boleh membantu memantau dan mengawal masa penggunaan peranti.
7. Gantikan masa skrin dengan aktiviti fizikal
Babitkan diri dalam aktiviti seperti bersenam, membaca buku fizikal atau berjalan-jalan untuk mengimbangi gaya hidup.
8. Tetapkan ‘Zon Tanpa Peranti’ di Rumah
Contohnya, kawasan meja makan atau bilik tidur dikhaskan sebagai kawasan bebas peranti untuk menggalakkan interaksi bersemuka.
9. Kurangkan ‘multitasking digital’
Fokus pada satu tugas pada satu masa. ‘Multitasking’ dengan peranti sering menurunkan produktiviti dan meningkatkan tekanan.
10. Didik anak berkenaan penggunaan bijak
Bagi ibu bapa, terapkan kesedaran kepada anak-anak berkenaan kesan penggunaan peranti berlebihan dan tunjuk contoh penggunaan yang sihat.
© New Straits Times Press (M) Bhd