Kawalan kewangan juga bentuk keganasan rumah tangga – Nancy

Kawalan kewangan juga bentuk keganasan rumah tangga – Nancy

KUALA LUMPUR – Tidak diberikan wang untuk membeli pakaian, dimarahi kerana memesan barangan dalam talian atau terpaksa bergantung sepenuhnya kepada pasangan untuk memenuhi keperluan diri adalah antara situasi yang boleh mencerminkan keganasan ekonomi dalam rumah tangga.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, keganasan rumah tangga bukan hanya melibatkan penderaan fizikal dan emosi, malah turut merangkumi kawalan ekonomi yang boleh menjejaskan kesejahteraan serta keyakinan diri mangsa.

Beliau berkata, bentuk keganasan itu perlu diberikan perhatian kerana boleh berlaku dalam kehidupan seharian, khususnya apabila pasangan tidak menyediakan wang untuk keperluan asas keluarga atau mengawal perbelanjaan peribadi sehingga mangsa tidak mempunyai kebebasan kewangan.

“Contohnya, suami balik rumah hendak makan dan mengharapkan isteri masak. Kalau isteri tak bekerja, dia tidak ada duit dan suami pula tidak memberikan wang kepadanya untuk keperluan dapur, macam mana dia hendak memasak?

“Selain itu, isteri hendak membeli pakaian tetapi tidak mempunyai wang. Hendak membeli-belah seperti wanita lain pun tidak boleh. Apabila dia memesan barangan melalui Shopee, dia dimarahi suami. Ini yang biasa berlaku dan menjadi cabaran baharu dalam kehidupan sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk “Keluarga Sejahtera: Kasih Terpelihara, Penjagaan Diperkasa” terbitan Bernama TV di sini pada Isnin.

Nancy berkata, kawalan kewangan sedemikian boleh menyebabkan mangsa kehilangan keupayaan untuk membuat keputusan bagi keperluan sendiri, terutama apabila tidak mempunyai pendapatan atau akses kepada wang.

Menurut beliau, statistik polis merekodkan 5,507 kes keganasan rumah tangga pada 2023, meningkat kepada 7,016 kes pada 2024 dan 7,391 kes pada 2025 manakala bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, sebanyak 5,278 kes direkodkan.

“Keganasan rumah tangga ini boleh berlaku dalam pelbagai bentuk dan situasi tetapi yang menjadi cabaran ialah apabila mangsa memilih untuk berdiam diri dan tidak mendapatkan bantuan. Kadang-kadang bila sudah buat laporan pun, mereka tarik balik laporan kerana takut,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kementerian menyediakan pelbagai bentuk sokongan bagi membantu mangsa keluar daripada situasi penderaan serta membina semula kehidupan, termasuk melalui khidmat kaunseling, intervensi dan bantuan kewangan untuk menghadiri prosiding mahkamah, sekiranya perlu.

Nancy berkata, usaha menangani keganasan rumah tangga juga penting bagi melindungi anak-anak yang menyaksikan penderaan dalam keluarga kerana pengalaman itu boleh mempengaruhi persepsi mereka terhadap hubungan kekeluargaan apabila dewasa.

“Kami tidak mahu perkara ini menjejaskan anak-anak sehingga apabila mereka dewasa, mereka mengulangi perkara yang sama kerana menganggapnya sebagai sesuatu yang normal,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa masyarakat supaya tidak menganggap keganasan rumah tangga sebagai urusan peribadi semata-mata, sebaliknya tampil membantu melaporkannya menerusi Talian Kasih 15999 atau WhatsApp 019-261 5999 sekiranya mengetahui atau mengesyaki kejadian sedemikian berlaku. – Bernama

Scroll to Top