Kawasan perniagaan pendatang digempur, 146 orang ditahan

Kawasan perniagaan pendatang digempur, 146 orang ditahan

suharmin@hmetro.com.my

Kepong: Berani jalankan aktiviti perniagaan di rumah kedai secara beramai-ramai di sekitar Taman Wangsa Permai dan Desa Aman Puri, di sini.

Itu tindakan 146 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berjaya diberkas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor susulan operasi bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) semalam.

Difahamkan, dua lokasi itu dikesan menjalankan aktiviti perniagaan seperti kedai gunting rambut, kedai runcit, kedai makan dan pusat cuci kenderaan manakala bahagian atas rumah kedai pula dijadikan tempat tinggal bagi pekerja asing.

Semasa serbuan bermula jam 8.30 malam, warga asing yang menyedari kehadiran pasukan operasi bertindak melarikan diri, namun tindakan itu gagal susulan kawasan itu sudah dikepung.

Pengarah JIM Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, seramai 146 individu disyaki PATI termasuk 32 wanita, dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan diberkas.

Katanya, mengikut pecahan, tangkapan membabitkan 16 Indonesia, Myanmar (64 orang), Bangladesh (30 orang), India (14 orang), Pakistan (9 orang), Nepal (5 orang), Thailand (3 orang), Sri Lanka (2 orang), China (2 orang) dan Nigeria (1 orang).

“Kesemua tangkapan ini adalah hasil pemeriksaan ke atas 237 warga asing dan antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tinggal lebih masa, tiada dokumen pengenalan diri serta pemegang kad yang tidak diiktiraf,” katanya.

Menurut Khairrul, kesemua yang ditahan berusia enam hingga 55 tahun ditempatkan di Depoh Imigresen Semenyih untuk tindakan reman dan siasatan lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top