mhafis@mediaprima.com.my
Petaling Jaya: Bungkus semula minuman keras diseludup sebelum dibekal secara pukal ke kawasan industri dan pembinaan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Itu taktik sindiket membekal dan mengedar minuman keras pelbagai jenama yang dikesan bergiat aktif sekitar Lembah Klang.
Kegiatan itu terbongkar selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyerbu sebuah gudang persendirian di Taman Prima Tropika, Seri Kembangan, jam 1.30 tengah hari 19 Ogos lalu.
Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wan Norizan Wan Daud berkata, hasil pemeriksaan dilakukan menemui minuman keras import pelbagai jenama bernilai RM921,769.
Menurutnya, sebuah lori lima tan turut disita selain pihaknya menahan tiga lelaki warga asing.
“Pengimportan minuman keras memerlukan lesen import dan setem cukai yang diluluskan Ketua Pengarah Kastam mengikut Peraturan 42(1) Peraturan-Peraturan Kastam 2019.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya pada sidang media di Pejabat Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Kelana Jaya, di sini, tadi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




