Colombier-le-Vieux, Perancis: Bekas juara Tour de France, Jonas Vingegaard melintasi garisan penamat secara solo selepas melakukan pemecahan berseorangan sejauh 21 kilometer (km) untuk meraih kemenangan kedua berturut-turut pada peringkat kelima perlumbaan Paris–Nice.
Pelumba Denmark itu menyarung jersi kuning pendahulu keseluruhan dalam hujan lebat di Uchon, Rabu lalu sebelum mengukuhkan kedudukan di puncak selepas meninggalkan pencabar lain untuk menang selesa di Colombier-le-Vieux di tenggara Perancis.
Pelumba pasukan Team Visma–Lease a Bike itu melancarkan serangan di pendakian Saint-Jean-de-Muzols dalam peringkat berbukit sejauh 206.3km sebelum menamatkan perlumbaan dengan kelebihan dua minit dua saat di depan pelumba Perancis, Valentin Paret-Peintre.
“Saya benar-benar mahu menang hari ini dan pasukan juga mempunyai sasaran sama,” kata Vingegaard yang gembira meraih kemenangan di laluan sama yang menyaksikan dia terjatuh tahun lalu sebelum menarik diri daripada perlumbaan sehari kemudian.
Menurut Vingegaard, insiden kemalangan musim lalu masih bermain di fikirannya ketika berlumba semalam.
“Rasa cukup bermakna dapat membalas semula keadaan itu, apatah lagi menang di sini pada hari yang cukup indah. Cuaca baik dan ia hari yang hebat buat saya serta pasukan,” katanya.
Pelumba Denmark itu menyertai perlumbaan pertama musim ini dengan sasaran memburu kejayaan berganda di Giro d’Italia dan Tour de France.
Vingegaard kini melebarkan jurang pendahulu keseluruhan kepada tiga minit 22 saat di depan pelumba Colombia, Daniel Martínez dan berada pada kedudukan terbaik untuk menamatkan perlumbaan sebagai juara di Nice, Ahad ini.
“Dia hancurkan semua orang. Prestasinya luar biasa. Dia datang ke sini untuk menewaskan semua orang.
“Saya sudah tidak sabar menyokongnya dalam dua sasaran besar musim ini, Giro dan Tour de France,” kata pelumba Belgium, Victor Campenaerts yang juga antara rakan sepasukan paling setia kepada juara dua kali Tour de France itu.
Pelumba Soudal Quick-Step, Paret-Peintre pula berjaya memisahkan diri daripada kelompok pengejar yang tiba kira-kira 18 saat kemudian untuk menamatkan perlumbaan di tempat kedua pada peringkat berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




