KBBM bertema Jom Beli Lokal perkukuh sokongan terhadap produk tempatan

KBBM bertema Jom Beli Lokal perkukuh sokongan terhadap produk tempatan

am@hmetro.com.my

Iskandar Puteri: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2025 yang bertemakan Jom Beli Lokal, bagi memperkukuh sokongan terhadap produk tempatan seiring pertumbuhan positif sektor perdagangan pengedaran negara.

Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kempen itu langkah strategik untuk memperkukuh pertumbuhan ekonomi domestik, sekali gus membantu usahawan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKMS) tempatan dalam meluaskan jaringan pasaran.

Katanya, pelaksanaannya mengambil kira perkembangan semasa industri perdagangan pengedaran yang mencatatkan nilai jualan berjumlah RM1.766 trilion pada 2024, meningkat 5.5 peratus berbanding RM1.674 trilion pada tahun sebelumnya.

“KBBM adalah inisiatif untuk menonjolkan kualiti produk tempatan, mengurangkan kebergantungan terhadap barangan import dan usaha yang bukan hanya dilaksanakan oleh KPDN, tetapi akan digerakkan oleh pelbagai agensi dan kementerian dengan strategi dan pendekatan masing-masing.

“Kita juga menggunapakai pendekatan untuk mempromosi produk tempatan dalam platform e-dagang dengan kerjasama pengendali platform e-dagang sebab potensinya cukup luas.

“Pada tahun 2023 dan 2024, tiga platform e-dagang iaitu TikTok, Shopee dan Lazada telah menjana jualan melebihi RM347 juta di bawah KBBM yang melibatkan hampir 700,000 ‘Stock Keeping Unit (SKU),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Jelajah Karnival KPDN Tahun 2025 peringkat Zon Selatan di Puteri Harbour di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalannya, Dr Fuziah Salleh dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Menurut Armizan, bagi menjayakan KBBM 2025, satu mesyuarat koordinasi yang akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof bakal diadakan minggu depan, antaranya menyelaraskan pendekatan program babitkan kementerian dan agensi dalam misi Jom Beli Lokal.

“Mesyuarat minggu hadapan itu juga akan mengenalpasti selain dalam ruang kementerian dan agensi kerajaan, ada pihak yang boleh kita bekerjasama untuk anjak gerakan ini, termasuk platform e-dagang,” katanya.

Program Jelajah Karnival KPDN Tahun 2025 membuka tirai di Puteri Harbour di sini, berlangsung tiga hari bermula hari ini hingga Ahad, sebelum diteruskan ke Zon Utara (Kedah), Zon Timur (Pahang), Zon Tengah (Selangor), Zon Sabah dan Zon Sarawak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top