KBS nafi kelonggaran SOP aktiviti sukan, rekreasi

KBS nafi kelonggaran SOP aktiviti sukan, rekreasi

bhnews@bh.com.my

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menafikan kesahihan infografik prosedur operasi standard (SOP) Am Sektor Sukan dan Rekreasi di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN), membenarkan aktiviti sukan dan rekreasi secara individu yang tidak bersentuhan fizikal sehingga jam 12 tengah malam.

Menerusi satu kenyataan hari ini, KBS menjelaskan, infografik SOP yang tular itu mendakwa kementerian berkenaan membenarkan aktiviti sukan secara individu tidak bersentuhan fizikal bermula jam 6 pagi hingga 12 tengah malam.

“Infografik yang tular itu adalah palsu dan mengelirukan. Ia sebaliknya kebenaran bagi negeri bawah PPN Fasa 3 sahaja seperti infografik sebenar bertajuk SOP Am Sektor Sukan dan Rekreasi di bawah PPN FASA 3,” kata kementerian berkenaan.

Mengingatkan orang ramai untuk tidak mudah percaya dan menyebarkan maklumat tidak sahih, KBS memaklumkan, semua pihak boleh merujuk http://www.kbs.gov.my/sopsukanrekreasi atau terus ke laman rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN) di www.mkn.gov.my untuk mendapatkan maklumat terkini yang sahih.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top