KBS perkenal sukan mendayung untuk belia OKU

KBS perkenal sukan mendayung untuk belia OKU
Hannah (tengah) melepaskan peserta sukan mendayung sebagai simbolik perasmian 1st Penang Rowing Beach Sprint Coastal Championship 2025 pada Sabtu.

Hannah (tengah) melepaskan peserta sukan mendayung sebagai simbolik perasmian 1st Penang Rowing Beach Sprint Coastal Championship 2025 pada Sabtu.

GEORGE TOWN – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperkenalkan sukan mendayung sebagai medium baharu dalam usaha membangunkan potensi belia orang kurang upaya (OKU) dengan menyalurkan peruntukan khas berjumlah RM20,000 kepada Persatuan Mendayung Pulau Pinang.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, sukan tersebut dipilih kerana ia merupakan aktiviti yang selamat dan terkawal, khususnya melalui kemudahan ‘indoor rowing’ yang dilihat lebih sesuai untuk golongan OKU.

β€œKita masih kekurangan program khas untuk belia OKU, terutama selepas mereka menamatkan alam persekolahan.

“Kebanyakan program sedia ada hanya tertumpu kepada peringkat sekolah, sedangkan golongan berusia 17 tahun ke atas sangat memerlukan aktiviti bermanfaat agar tidak terpengaruh dengan kandungan tidak sihat di media sosial,” katanya ditemui pada Sabtu.

Sebelum itu, Hannah hadir ke Penang Chinese Swimming Club bagi merasmikan 1st Penang Rowing Beach Sprint Coastal Championship 2025.

Pada majlis yang sama, Hannah turut menyampaikan geran padanan sukan berjumlah RM60,000 kepada kejohanan tersebut.

Dalam pada itu, Hannah turut memaklumkan bahawa pihak Persatuan Mendayung Pulau Pinang akan membangunkan silibus khas melibatkan latihan fizikal dan pembangunan bakat sukan untuk golongan belia OKU.

“Persatuan Mendayung Pulau Pinang dipilih berdasarkan pengurusan kelab yang baik dan pernah menerima pengiktirafan Club Joint Accreditation (CJA), yang membuktikan kesediaan mereka dalam menyumbang kepada pembangunan sosial.

“Saya menanti laporan pelaksanaan daripada pihak kelab. Sekiranya program ini membuahkan hasil, kita akan pertimbangkan untuk meluaskannya ke negeri lain,” ujarnya.

Tambah Hannah, usaha tersebut dilihat sebagai langkah awal kerajaan memastikan belia OKU terus mendapat ruang penyertaan dalam pembangunan negara dan tidak terpinggir.

Scroll to Top