sukan@hmetro.com.my
Putrajaya: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyediakan dana sukan tahunan 2026 sebanyak RM100 juta meliputi Geran Padanan Sukan (GPS), Dana Sukan Komuniti (DSK) dan Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) bagi kegunaan persatuan sukan di negara ini.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, setiap persatuan mahupun kelab yang berdaftar di bawah Pesuruhjaya Sukan (PJS), Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) atau Pendaftar Pertubuhan (ROS) layak memohon dana itu mengikut jenis geran yang ditawarkan.
Jelasnya, dana seperti GPS digunakan untuk penganjuran pertandingan sukan berprestasi tinggi dan mampu memberi impak tinggi di peringkat negeri, kebangsaan serta antarabangsa. Ia bersifat tuntutan pembayaran balik dan jumlah peruntukan diberikan mengikut keperluan dengan maksimum sehingga RM1 juta.
“Kita menyediakan geran GPS RM30 juta, DSK RM20 juta dan KWASN RM50 juta. Jadi keseluruhannya adalah RM100 juta.
“Seperti GPS, persatuan sukan ataupun penganjur mesti mempunyai dana pendahuluan yang mereka boleh guna pakai. Kita juga akan berikan kelulusan sehingga maksimum RM1 juta tetapi bukan semua akan dapat RM1 juta. Hanya kejohanan berprestasi tinggi yang kita rasa impaknya cukup hebat kepada Malaysia, baru kita akan beri jumlah sebanyak itu.
“Yang kedua, DSK keutamaan kepada persatuan yang daftar dengan PJS, ROY dan ROS. Bantuan ini diberikan secara one-off untuk peringkat daerah dan negeri, merangkumi sukan massa serta aktiviti rekreasi. Permohonan di bawah RM10,000 dibayar terus, manakala jumlah melebihi RM10,000 disalurkan secara berperingkat bagi memastikan program benar-benar dilaksanakan.
“Untuk KWASN, sejak tahun lalu, atlet persendirian dibenarkan memohon bantuan ini tetapi hanya untuk Sukan Olimpik atau sukan yang dipertandingkan dalam temasya besar. Kejohanan luar negara yang disertai mesti mempunyai ranking dunia. Kalau pergi sekadar untuk aksi persahabatan, itu tak boleh,” katanya pada Sidang Media Geran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) 2026, hari ini.
Persatuan sukan di Malaysia boleh memohon dana itu bermula 15 Disember ini dan pembayaran dibuat pada tahun hadapan mengikut tarikh yang sudah ditetapkan KBS.
Dalam perkembangan sama, Hannah menegaskan semua persatuan sukan tidak terpedaya dengan individu yang mengaku sebagai ‘runner’ atau ejen KBS bagi menguruskan geran berkenaan.
“Saya mahu maklumkan KBS dan mana-mana agensi di bawah kita tidak mengenakan caj ataupun komisen. Kami juga tidak ada runner.
“Jadi saya minta pemohon jangan percaya sesiapa yang datang atas nama ejen atau yang kata boleh siapkan kertas kerja untuk mendapatkan komisen,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




