KBS teliti mekanisme baharu sokong sukan permotoran

KBS teliti mekanisme baharu sokong sukan permotoran

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan meneruskan perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MOF) bagi meneliti kemungkinan penyediaan mekanisme sokongan bersesuaian bagi memastikan pembangunan atlet berpotensi tinggi negara termasuk dalam sukan permotoran dapat diteruskan.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, usaha itu penting bagi memastikan bakat muda negara terus mendapat sokongan dalam usaha mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

“KBS dan SIC akan berbincang dengan MOF bagi meneliti kemungkinan mewujudkan mekanisme sokongan yang bersesuaian.

“Langkah ini penting bagi memastikan kesinambungan pembangunan atlet berpotensi tinggi negara termasuk dalam sukan permotoran dapat diteruskan,” katanya.

Menurut beliau, KBS kekal komited menyokong pembangunan bakat sukan tanah air termasuk sukan permotoran selari dengan matlamat melahirkan atlet berprestasi tinggi yang mampu bersaing di pentas dunia.

Katanya, pada 2025 KBS melalui dana Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) menyalurkan RM3 juta kepada SIC bagi melaksanakan Program Pembangunan Sukan Permotoran Berprestasi Tinggi.

Peruntukan itu membabitkan tiga program utama pembangunan pelumba muda negara iaitu penyertaan Hakim Danish dalam Red Bull MotoGP Rookies Cup, Qabil Irfan dalam ESBK Moto3 Talent serta Sharf Muhriz dan Adam Danial dalam Asia Talent Cup.

“Dana ini digunakan bagi menampung kos penyertaan kejohanan, operasi pasukan, latihan serta keperluan pembangunan pelumba sepanjang musim,” katanya.

Tambah Taufiq, tahun lalu KBS turut meluluskan peruntukan tambahan RM1 juta melalui KWASN bagi membantu penyertaan Hakim dalam FIM JuniorGP World Championship 2025, yang menjadi platform pembangunan penting sebelum melangkah ke Kejuaraan Dunia MotoGP.

Namun keputusan dasar yang dibuat tahun lalu menetapkan bahawa bagi 2026, permohonan dana KWASN akan memberi keutamaan kepada sukan yang dipertandingkan dalam temasya utama.

“Sukan yang diberi keutamaan adalah yang dipertandingkan dalam Sukan Olimpik dan Paralimpik, Sukan Asia dan Para Asia, Sukan Komanwel serta Sukan Sea dan Para ASEAN berdasarkan senarai Majlis Olimpik Malaysia dan Majlis Paralimpik Malaysia.

“Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira temasya besar yang bakal dihadapi kontinjen negara termasuk Sukan Komanwel di Glasgow, Sukan Asia dan Sukan Para Asia di Aichi dan Nagoya,” katanya.

Walau bagaimanapun, KBS memahami bahawa pencapaian atlet negara di pentas dunia termasuk dalam sukan yang tidak dipertandingkan dalam temasya tersebut tetap memberi impak besar kepada imej negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top