sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) percaya Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mempunyai cara tersendiri dan yakin badan induk itu mampu mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap isu pemilihan pelumba lebuh raya untuk mewakili negara di Sukan SEA Thailand nanti.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, beliau mengikuti perkembangan semasa yang berlaku di dalam PKBM dan berharap setiap persatuan sukan di Malaysia boleh bergerak secara aktif dan tidak mengharapkan sepenuhnya peruntukan daripada kerajaan semata-mata.
“Untuk pemilihan atlet (pelumba lebuh raya), kita tahu PKBM akan berunding dengan Majlis Olimpik Malaysia untuk buat pemilihan dan memilih berdasarkan merit iaitu siapa terbaik akan terpilih mewakili negara.
“Saya tahu hala tuju PKBM dan sekarang ini mengambil banyak tanggungjawab asal yang sepatutnya persatuan itu buat. Mereka pun banyak berhubung dengan KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN), ini bagus.
“Saya nak pastikan peruntukan sampai kepada atlet dan kita (persatuan) tak boleh bergantung kepada kerajaan. Selain itu, kita nak pastikan persatuan sukan memainkan peranan mereka. Kalau kita salurkan, itu sedikit sebanyak membantu tetapi persatuan kena pergi cari penaja, dan penaja tidak akan datang kalau pentadbiran sukan itu lemah, kalau ada kes rasuah, mereka tak berani masuk.
“Tapi jika semakin maju, mereka bersatu hati dan fokus kepada pembangunan atlet, penaja akan datang kerana mereka nak jumlah penyokong itu. Tapi kalau mula gaduh, pergi mahkamah, itu susah,” katanya.
Selain itu, Hannah turut meminta agar mana-mana individu yang merasa tidak mampu menjalankan tanggungjawab mencari penaja, sebaiknya serahkan jawatan itu kepada mereka yang sepatutnya membantu persatuan.
Terdahulu, Arena Metro melaporkan Pengurus pasukan Malaysia Pro Cycling (MPC), Sayuti Zahid menegaskan beliau tidak akan menerima tawaran untuk menjadi ketua jurulatih skuad lebuh raya ke Sukan SEA 2025 di Thailand sekiranya syarat dan perancangan yang diberikan tidak meyakinkan.
Sayuti mengakui terbuka untuk membantu negara, namun menyifatkan tawaran tanpa hala tuju atau bajet persiapan jangka panjang hanya akan membazirkan masa dan komitmen semua pihak, termasuk pasukan profesional seperti Terengganu Cycling Team (TSG) dan MPC.
© New Straits Times Press (M) Bhd