KDA FC masih perlu kerja keras – Nafuzi

KDA FC masih perlu kerja keras – Nafuzi

Pemain KDA FC meraikan jaringan Lee Tuck pada aksi Liga Super 2023 menentang Sabah FC di Stadium Darul Aman pada malam Jumaat. FOTO KDA FC

KEJAYAAN Kedah Darul Aman (KDA) FC bangkit menewaskan Sabah FC 2-1 di Stadium Darul Aman pada malam Jumaat memastikan pasukan tersebut naik satu tangga di kedudukan keempat Liga Super 2023 selepas 13 perlawanan.

Pengendalinya, Nafuzi Zain berkata, sasaran untuk berada di kelompok empat pasukan terbaik selepas tamat pusingan pertama Liga Super berjaya direalisasikan selepas berdepan cabaran sukar namun masih perlu bekerja keras pada baki saingan liga.

Menurutnya, semua pemainnya juga telah menunjukkan semangat dan karakter permainan yang diharapkan malah tidak mengalah walaupun ketinggalan gol kepada pasukan lawan.

“Kita tahu ini adalah tahun pertama saya bersama Kedah dan saya gembira berada di kelompok empat teratas pada pusingan pertama. (Namun) kita tahu banyak lagi kerja keras perlu dilakukan.

“KDA FC Ketinggalan gol awal kepada Sabah FC namun pemain tidak mengalah malah bersemangat mencipta ruang dan peluang serta menjaringkan gol penyamaan dan juga kemenangan. Corak permainan mereka sudah banyak meningkat walaupun masih banyak kelemahan dan persefahaman yang perlu diberikan perhatian,” katanya pada sidang akhbar pada malam Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas perlawanan liga super di antara KDA FC dan Sabah FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Lee Tuck muncul wira Sang Kenari apabila menjaringkan gol pada minit ke-40 dan 72 bagi memadamkan gol awal pasukan pelawat menerusi Gabriel Peres seawal minit ke-8.

Mengulas dua jaringan Lee Tuck pula, Nafuzi mengakui komitmen yang diberikan oleh pemain itu dan dia berada pada masa serta posisi yang tepat untuk menjaringkan dua gol tersebut.

“Prestasi yang ditunjukkan oleh Lee Tuck membuatkan ramai gembira terutamanya penyokong Kedah,” ujarnya.

Pada perlawanan tersebut, Lee Tuck dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan selepas menjaringkan dua gol untuk memberi tiga mata penuh kepada Sang Kenari di Darul Aman.