KDA rebut naib juara Liga Super, Perak berpesta gol di Ipoh

KDA rebut naib juara Liga Super, Perak berpesta gol di Ipoh

Pemain Kedah meraikan kejayaan menewaskan Negeri Sembilan FC dengan jaringan 3-0 pada Perlawanan Liga Super Kedah Darul Aman FC bertemu Negeri Sembilan FC di Stadium Darul Aman. – Foto Bernama

DI sebalik dihimpit masalah kewangan, Kedah Darul Aman (KDA) FC melebarkan rekod tanpa kalah dalam lapan perlawanan untuk kekal berada dalam saingan perebutan naib juara Liga Super selepas membenam Negeri Sembilan 3-0 di Alor Setar, malam ini.

Kemenangan di Stadium Darul Aman itu membolehkan Sang Kenari, mengumpul keseluruhan 50 mata di posisi ketiga untuk terus memberi tekanan kepada Selangor FC di tempat kedua dengan kelebihan dua mata berbaki tiga perlawanan.

Pada aksi di Stadium Darul Aman itu, anak buah Mohd Nafuzi Mahammad Zain mendominasi separuh masa pertama dengan menjaringkan dua gol awal, masing-masing menerusi kapten pasukan Manuel Ott pada minit ke-14, diikuti gol pemain kebangsaan Tajikistan Amirbek Juraboev, dua minit kemudian.

Penyerang import dari Nigeria Ifedayo Olusegun, melengkapkan kemenangan penting pasukan apabila menjaringkan gol tunggal babak kedua perlawanan pada minit ke-52, sekali gus terus menyalakan peluang muncul naib juara dan menyambar slot ke Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) musim 2024/2025.

Scroll to Top