KDN FC perlu RM7 juta hadapi Liga-M musim depan

KDN FC perlu RM7 juta hadapi Liga-M musim depan

Kota Bharu: Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) memerlukan dana antara RM6 juta hingga RM7 juta, bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2025/2026.

Presidennya Rozi Muhamad berkata, jumlah itu ditetapkan berdasarkan nasihat dan garis panduan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), susulan kelemahan aspek pengurusan kewangan pasukan pada musim lepas.

“Penstrukturan semula dilakukan melibatkan pegawai, pengurusan dan pemain bagi memperkukuh pasukan, selain membentuk pengurusan baharu berasaskan pengalaman supaya lebih bersedia menghadapi saingan liga.

“KDN FC juga menjalinkan kerjasama strategik dengan beberapa pihak termasuk penaja dan kerajaan negeri, dalam usaha memastikan kelab terus berdaya saing,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam Penghargaan KDN FC bersama penaja serta rakan strategik di sini, malam tadi.

Berhubung urusan perlesenan kelab, Rozi berkata KDN FC kini giat menyelesaikan syarat pelesenan ditetapkan MFL dan First Instance Body (FIB), dengan setakat ini telah mencapai tahap penyelesaian lebih 90 peratus.

Pada majlis itu, Rozi turut mengumumkan pelantikan tokoh korporat Datuk Mohd Irwan Rizal Ali Napiah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu pasukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top