KDN kaji kesesuaian guna Poca terhadap kumpulan kultus

KDN kaji kesesuaian guna Poca terhadap kumpulan kultus

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mengkaji kesesuaian penggunaan undang-undang pencegahan sedia ada seperti Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca) terhadap kumpulan kultus (pemujaan melampau) di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini disebabkan undang-undang bersifat punitif berkemungkinan tidak dapat menyelesaikan isu berkenaan secara holistik kerana masalah teknikal perundangan seperti undang-undang pencegahan.

“Jika terdapat keperluan meminda akta berkenaan, kementerian akan melaksanakan tindakan sewajarnya termasuk mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh berkepentingan.

“Selain itu, kerajaan juga melancarkan Pelan Tindakan Malaysia bagi Mencegah dan Menangani Fahaman Pelampau Keganasan (MyPCVE) yang menggariskan empat teras dan mengandungi 15 fokus strategik, 59 inisiatif, dan 60 petunjuk prestasi utama.

“Kerajaan percaya pelan berkenaan berupaya untuk mencegah penularan fahaman pelampau dalam kalangan masyarakat Malaysia,” katanya dalam jawatan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) mengenai sama ada kerajaan bercadang untuk menggubal atau meminda undang-undang baharu bagi mengekang kegiatan kumpulan kultus dengan lebih berkesan dan menyeluruh seperti GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang disiasat pihak berkuasa kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan, termasuk mengeksploitasi agama, pemerdagangan orang dan penganiayaan kanak-kanak.

Saifuddin berkata, KDN sentiasa komited dalam mengkaji dan menambah baik semua undang-undang di bawah kawal selianya, termasuk membabitkan kesalahan keselamatan.

“Kementerian akan terus menyokong reformasi negara berlandaskan nilai ihsan, kesejahteraan, keyakinan dan kemampanan demi memastikan hasrat agenda Malaysia MADANI dicapai,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top