mhafis@mediaprima.com.my
Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini dalam fasa meneliti bagi menambah baik Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) bagi mengimbangi keperluan keselamatan negara dengan hak asasi individu.
Ia juga bertujuan memastikan akta berkenaan berkesan dalam menangani aktiviti jenayah serius, kompleks, dan berstruktur yang mengancam keselamatan negara serta ketenteraman awam.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu dibuat susulan jemaah menteri bersetuju dan meminta KDN meneliti semula Akta Sosma.
Menurutnya, KDN kini mengkaji 73 kesalahan yang disenaraikan dalam akta itu dan mempertimbangkan apakah sebahagian daripadanya boleh diikat jamin dengan memulangkan kuasa itu kepada mahkamah.
“Ini satu anjakan yang penting buat kita dan beberapa pemegang taruh lain.
“Kita turut komited mengkaji semula Seksyen 30 Sosma yang mendapat perhatian dalam pelbagai sesi libat urus yang dilaksanakan oleh KDN,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Menteri Dalam Negeri bersama pengamal media, di sini, hari ini.
Saifuddin berkata, di bawah Seksyen 30 Sosma pada masa ini, seseorang yang dituduh mengikut akta itu tidak boleh diikat jamin kecuali kanak-kanak berusia bawah 18 tahun, wanita, atau individu yang sakit atau uzur, tertakluk kepada budi bicara mahkamah.
“Selama tempoh tahanan melepasi 28 hari, mereka yang dituduh akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan, dan Mahkamah Persekutuan. Sehingga proses itu selesai, individu yang ditahan akan tetap berada dalam penjara.
“Ini juga salah satu seksyen yang sering dibangkitkan dalam sesi libat urus, banyak pihak berpandangan ia wajar dikaji semula,” katanya.
Beliau menegaskan Kerajaan Perpaduan komited dalam usaha melakukan transformasi terhadap akta berkenaan sambil memastikan hak asasi setiap individu terus dilindungi.
Sebelum ini, Saifuddin dilaporkan berkata bahawa penambahbaikan terhadap Sosma adalah bagi mengimbangi keperluan keselamatan negara dengan hak asasi individu, selain memastikan akta tersebut berkesan dalam menangani aktiviti jenayah serius, kompleks, dan berstruktur yang mengancam keselamatan negara serta ketenteraman awam.
© New Straits Times Press (M) Bhd